Friday, March 16, 2012

TELEFON CELULAR PUN IKUT TERPUTUS SEMASA BANJIR



Diatas puncak bukit berhampiran pekan Lawin terpacak satu menara pemancar kegunaan dua buah syarikat gergasi perkhidmatan telefon celular. Pada tengah malam 9 Mac 2012,... dimalam yang gelap gelita, tidak sampai 500 meter dari situ, seorang bekas komando tentera bergadai nyawa berenang menyeberangi sungai yang sedang menderu laju. 

Bah besar sudah menenggelami beberapa buah rumah termasuk rumahnya. Telefon celularnya tiba-tiba sahaja tidak berfungsi kerana tiada "line" sedangkan itulah sahaja alat pergantungan untuk meminta bantuan. Lalu dia mengambil keputusan nekad berenang untuk meminta bantuan "disebelah sana sungai". Namun apabila tiba "di seberang sana sungai", baru dia tahu bahawa nasib disana juga sama dengan di tempatnya. Memikirkan keselamatan keluarganya, lalu dia berenang kembali. Satu situasi yang amat mencemaskan yang dapat dielakkankan jika telefon celularnya berfungsi pada masa itu.

Kita boleh menerima keadaan dimana terputus bekalan api letrik, bekalan air paip dan telefon kabel (telekom) kerana semuanya melalui talian, atau paip atau kabel yang boleh terputus jika dilanda banjir. Tetapi yang menghairankan.. "telefon celular yang dipancar melalui udara pun ikut terputus". Jika pihak yang berkenaan mahu memberi alasan, saya sudah sedia maklum bahawa pihak yang berkenaan akan memberi 1,001 jawapan untuk menjustifikasikan kelemahan perkhidmatan mereka tersebut.

Saya cuma ingin mengingatkan mereka  bahawa mereka bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan yang efisyen sesuai dengan teknologi semasa. Bukannya mengambil jalan mudah dalam menyediakan perkhidmatan telefon celular dengan menggunakan cara lama iaitu menggunakan bekalan letrik TNB 100% dan meminjam kabel TM untuk menjimatkan kos. Mereka sepatutnya ada backup electric generator dan tidak sepatutnya bergantung kepada kabel telekom.

Jika pemberi perkhimatan telefon celular tidak bergantung dengan pihak lain 100%, sudah tentu kejadian "terputus serentak"  "telefon celular" tidak akan terjadi. Sekurang-kurangnya magsa banjir atau lain-lain mangsa yang terdesak atau berada dalam situasi kecemasan ditempat terpencil boleh meminta bantuan dengan memberi lokasi/kedudukan mereka kepada pihak penyelamat.

Kita bukan menghina atau meburuk-burukkan mana-mana pihak. Tetapi jika perkara ini tidak di ketengahkan, maka ada pihak yang masih tidak sedar akan kelemahan mereka.

Nampaknya peristiwa "kesukaran perhubungan" semasa insiden Al Maunah di Kg Jenalik Sauk dalam Daerah Kula kangsar sedekad yang lalu tidak banyak memberi pengajaran kepada operator perkhidmatan telefon celular. Tidak ada tindakan pro aktif melainkan "sudah terantuk baru tengadah".

No comments: