Monday, May 2, 2011

MOHD TAIB - PAHLAWAN YANG DILUPAKAN

MOHD TAIB - PAHLAWAN YANG DILUPAKAN

Allahyarham ayahku Mohd Taib pernah ceritakan kepadaku bahawa sebelum dia pergi ke kawasan komunis sebagai utusan untuk sampaikan surat jemputan rundingan kepada Chin Peng dia sembahyang hajat dan berdo'a serta bermunajat terlebih dahulu. Allahyarham memang seorang yang sentiasa bergerak dengan petua dan gerak hati tertentu. Jadi sebelum pergi, dia telah mendapat petunjuk bahawa andainya mahu misinya berjaya, dia tidak boleh menerima sebarang imbuhan, hadiah atau sebagainya. Tambahannya lagi, pada fikirannya, andainya dia diberikan sebarang darjah penghormatan, tentu sahaja namanya akan menjadi gah dan masyhur. Ini akan membahayakan diri dan keluarganya kerana keluarga kami tinggal di kawasan ancaman komunis.

Hanya satu sahaja permintaan dari Mohd Taib kepada kerajaan sebelum dia menjalankan tugasnya iaitu sekira dia terkorbah semasa melaksanakan misi tersebut, dia memohon agar kerajaan menjaga kebajikan anak-anak dan isterinya. Itu sahaja permohonannya.

Telah menjadi kelaziman dunia bahawa perkara yang baik sekalipun, kalau tidak digilapkan sejak awal, ianya akan hilang begitu sahaja di telan masa. Oleh kerana masa telah berlalu begitu lama dan tiada pula catatan kesinambungannya maka jasa arwah Mohd Taib menjadi semakin kabur dan semakin menghilang dari lipatan sejarah.

Aku sendiri sebagai seorang anak, juga tidak berdaya untuk mengenengahkannya kerana kekurangan sumber, masa dan kemahiran mencari maklumat hingga keluar negara.

Jasa arwah Mohd Taib sudah tentu ada tercatat dimana-mana. Samada dalam rekod kerajaan British dulu atau dalam rekod pihak berkuasa Malaya/Malaysia. Mustahil seorang yang diamanahkan dengan tugas begitu berat tidak dicatatkan dalam mana-mana rekod resmi. Arwah pernah di lantik sebagai ketua "home guard" dan dibekalkan dengan 70 laras senjatapi untuk pasukan dibawah kelolaannya. Mustahil perkara ini juga tidak direkodkan oleh kerajaan British.

Malah Shot Gun kepunyaan Mohd Taib (senapang patah 12 bore) yang kini diwarisi oleh anak lelaki sulungnya Abdul Razak (Pak Tua Jak) adalah pemberian secara percuma dari kerajaan Britisah dulu kepada Mohd Taib sebagai senjata untuk jaga diri dan tugas.

Semasa zaman Jepun dulu, bagaimanakah Pasukan "Force 136" yang bergerak di Hulu Perak boleh berhubung dengan Mohd Taib di Kelantan sekiranya tak ada rekod Mohd Taib di tangan British.

Banyak lagi bukti dan rekod Mohd Taib yang masih tersembunyi dalam lipatan fail samada semasa pemerintahan British, kerajaan Malaya di awal kemerdekaan dan kerajaan Malaysia sehingga tahun 1985 (Tahun terakhir sumbangan jasa bakti beliau dengan Pasukan keselamatan /negara ). Jika semua ini disatukan memang Jasa arwah Mohd Taib sepatutnya mendapat pengiktirafan kerajaan. Namun kita mesti ingat bahawa jika kita sendiri sahaja yang beria-ia sangat nanti timbul salah tanggapan bahawa kita menjadi riak dan ada kepentingan peribadi.

Mungkin kita tunggulah sehingga ada diantara keturunan Allahyarham Mohd Taib Bin Mat Jusoh yang berminat atau mahir dalam kajian sejarah membuat kajian dan mendokumentasikan sejarah dan Jasa Allahyarham.

Allahyarham Mohd Taib telah meninggal dunia pada tahun 1996 di rumahnya di Kg Batu Melintang Luar, Jeli, Kelantan dan di kebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Melintang berhampiran Kem tentera Batu Melintang. Al Fatihah untuk roh Allahyarham.

No comments: