Sunday, May 1, 2011

SEJARAH KAMPUNG BELUM BARU

SEJARAH KAMPUNG BELUM LAMA DAN KAMPUNG BELUM BARU TIADA KAITANNYA DENGAN PERKAMPUNGAN ORANG ASLI

Gambar di acara sambutan hari kemerdekaan ke 50 pada 31 Ogos 2007 
di perkarangan masjid Nur Al Huda Kg Belum Baru, Gerik, Perak.

Oleh Zahari Bin Mat Taib

PENDAHULUAN

Kampung Belum adalah merupakan kampung baru orang Melayu yang tersendiri. Ianya tiada kaitan lansung dengan perkampungan orang asli atau penempatan bersama dengan orang asli.

Rencana ini ditulis bukan bertujuan untuk menghina orang asli atau sebagainya. Ianya hanya merupakan satu rencana penjelasan. Selalunya bila disebut kampung atau penempatan orang asli, ianya terletak di dalam hutan atau di kawasan pendalaman. Namun demikian dizaman moden ini ada juga perkampungan orang asli terletak berhampiran bandar seperti di Gombak dan di Tapah.

Isu kampung Belum Baru dikaitkan dengan kampung orang asli adalah berpunca dari salah faham kerana kurangnya penerangan berhubung dengan Lembah Belum dan kaitannya dengan kampung Belum Baru sekarang. Menambah kekeliruan, seorang penulis menamakan dirinya mizzzthanggg telah memuatkan satu artikal berhubung dengan kampung Belum Baru dalam laman web wikipedia. Ceteknya pengetahuan beliau terhadap sejarah Kampung Belum Baru beliau telah menulis nama kampung ‘Belum Baru’ di eja dengan perkataan kampung ‘Belum Baharu’. Bersama tulisan rencananya, mizzzthanggg telah menyelitkan beberapa keping gambar yang dikaitkan dengan perkampungan orang asli.

Berikut adalah beberapa perkara dan gambar yang mana bagi mereka yang tidak tahu latar belakang sebenar akan percaya bahawa Kg Belum Baru adalah kampung orang Asli terletak di pendalaman. Penduduknya masih lagi menggunakan sumpit.

Ini adalah gambar dan penerangan yang mengelirukan yang dipaparkan oleh mizzzthanggg dalam laman web wikipedia. Tulisan merah adalah ulasan penulis berhubung dengan gambar-gambar tersebut.
pak teh - tok bathin, kg belum baharu
(Mizzzthanggg menamakan pak teh sebagai tok bathin kg belum baru. Ini amat tidak betul dan salah sama sekali. Nama sebenar Pak Teh adalah Hj Mohamed Bin Awang Kechik. Beliau adalah orang Melayu. Beliau bukan ketua kampung Belum Baru malah jauh sama sekali menjadi Tok Batin orang Asli . Beliau adalah merupakan salah seorang yang berpindah dari Belum Lama . Beliau merupakan seorang bekas penduduk Kg Belum Lama yang amat berpengalaman mengenai selok belok Kg Belum Lama).

kg orang asli, royal belum
Walaupun mizzzthanggg mengiringi gambar ini dengan penerangan tetapi penerangan itu tidak cukup untuk menyatakan bahawa kg orang asli di Royal Belum tiada kaitan dengan penduduk kampung Belum Baru

wanna see a magic trick?

enjoying popsicles under the shade

Dua keping gambar diatas diambil oleh mizzzthanggg dibahagian bawah dan di hadapan pintu sebuah rumah lama yang menjadi tempat tinggal sementara pekerja menoreh getah. Dengan tiada penerangan terperinci ianya boleh disalah anggap sebagai sebuah rumah orang asli dipendalaman.

lil girls back from school
Gambar di atas adalah gambar anak orang Melayu penduduk kampung Belum Baru yang baru pulang dari Sekolah Menengah Kenering iaitu satu satunya sekolah Menengah di Mukim Kenering. Gambar latar di sebalik langsir tersebut adalah merupakan gambar rumah lama yang disebutkan seperti diatas. Dengan tiada penerangan terperinci dari mizzzthanggg , gambar ini juga juga boleh disalah anggap sebagai gambar sebuah rumah orang asli dipendalaman

Berpunca dari penerangan yang silap ini, seorang pengarah (ketua) satu rombongan program anak angkat yang dilaksanakan di kampung Belum Baru pada tahun 2007 telah membatalkan penyertaan dari kalangan peserta wanita mereka. Ketua peserta rombongan tersebut bimbang bahawa mereka akan menghadapi masalah tempat tinggal bagi peserta wanita kerana sangkaan mereka kg Belum Baru adalah kampung orang asli yang terletak di pendalaman dan tertinggal jauh dari segi pembangunan infrastruktur.

KAITAN ANTARA KG BELUM BARU DENGAN KG BELUM LAMA (LEMBAH BELUM)

Memang ada kaitannya antara Lembah Belum dengan Kampung Belum Baru. Perkampungan asal penduduk kampung Belum Baru adalah Kampung Belum Lama yang terletak dalam Lembah Belum. Dua lokasi yang berjarak melebehi 100 km yang dipisahkan oleh beberapa buah pekan, kampung, hutan, tasik empangan Temengor dan lain-lain. Kg Belum Baru tidak terletak dalam hutan di pendalaman. Sila lihat perta lakar di bawah ini.
Lokasi Kampung Belum Lama ( Sila amati peta di atas) terletak di sepanjang Sungai Perak di Hulu Perak iaitu bermula dari tempat yang dinamakan Ateng hingga ke Sepor berhampiran sempadan Thailand. Kampung Sepor sekarang dijadikan pos tetap tentera yang menjaga sempadan Lembah Belum dengan Thailand. Tempat tersebut dinamakan Pos Sepor. Tiada lagi orang Melayu tinggal disana setelah dipaksa pindah oleh British pada tahun 1952.

Sejak terbinanya jalanraya timur barat dan empangan Temengor, kawasan Lembah Belum telah menjadi terkenal samada dari segi pelancungan alam semula jadi dan juga pelancungan saitifik. Ini adalah ekoran dari mudahnya perhubungan jalanraya untuk sampai ke kawasan tersebut.

Bagi individu atau organisasi yang ada insiatif, berpositif dan berinovasi, Lembah Belum telah diekploitasikan dengan baiknya sebagai satu tempat untuk meningkatkan ekonomi dan perniagaan.

Diantara bentuk ekonomi yang sangat popular masa kini adalah pelancungan. Dan melalui pelancunganlah Kampung Belum Baru telah dikaitkan dengan perkampungan orang asli.

ASAL USUL LEMBAH BELUM

Kawasan Lembah Belum dinamakan bersempena dengan sebatang anak sungai kecil yang dinamakan sungai Belum yang terletak di kawasan paling hulu sungai Perak. Nama ‘Belum’ pula diberikan oleh peneroka dahulu sempena dengan sejenis sepisis belalang seakan-akan belalang Mekah yang besar. Belalang ini dinamakan belalang ‘Belom’ kerana suaranya yang kuat yang mengeluarkan bunyi ‘Belommmm… belommm….’ Belalang ini biasanya terdapat di pucuk atau hujung sejenis rotan besar yang berduri dan tinggi diatas pokok tumpang iaitu rotan Manau. Tak dapat dipastikan samada sepisis belalang ini masih wujud atau tidak.

SEJAK BILA KAMPUNG BELUM LAMA WUJUD

Tidak dapat dipastikan dengan tepat bilakah perkampung Belum Lama telah wujud di kawasan Hulu sungai Perak. EW Birch pernah mencatatkan satu pengembaraan beliau ke Lembah Belum pada tahun 1909. Beliau mencatatkan bahawa beberapa buah perkampung Melayu telah sedia wujud di kawasan tersebut dengan populasi seramai 205 orang semuanya. Beliau juga ada menulis bahawa telah ada pengembara berbangsa Eropah berpuluh tahun terdahulu darinya telah sampai ke kawasan tersebut.

SEBAB-SEBAB KAMPUNG BELUM LAMA DITINGGALKAN.

Pertubuhan Komunis telah wujud di Tanah Melayu pada tahun 1930. Pada asalnya pertubuhan komunis ini adalah untuk menyebarkan fahaman komunis dikalangan rakyat di Tanah Melayu dan juga untuk menentang penjajah Eropah yang menguasai Tanah Melayu.

Mengikut cerita lisan penduduk, telah ada campur tangan orang Cina di Kampung Belum Lama sebelum darurat di istiharkan pada tahun 1948. Malah telah ada orang Cina yang memeluk agama Islam dan berkahwin dengan orang Kg Belum Lama. Pada asalnya orang Cina ini merupakan peniaga dan pelombong emas. Lembah Belum dipercayai mempunyai simpanan galian logam emas. Inilah diantara puncanya mengapa mudahnya pengganas komunis bertapak di Kg Belum Lama dan inilah juga puncanya perkampungan Belum lama terpaksa di kosongkan.

Perkampungan Belum Lama bukan sahaja menjadi tempat persembunyian pengganas komunis malah ia juga menjadi lokasi persembunyian penjenayah, pelarian jenayah penjajah British dan juga rakyat yang menentang kerajaan British kerana kawasan Kg Belum Lama ini terletak jauh di pendalaman dan sukar didatangi. Dari segi sejarah, Kawasan Lembah Belum hanya diserahkan secara rasmi oleh kerajaan Thailand kepada British pada tahun 1909. Sebelum dari tahun tersebut, kawasan Lembah Belum adalah terletak di bawah pemerintah kerajaan Thailand melalui penaklukan kerajaan Siam ke atas kerajaan Melayu Patani (Raja Reman atau Raja Rahman). Kawasan ini juga pada masa itu mejadi kawasan pertikaian sempadan antara British dan Thailand. Jadi tidak ada penguat kuasa kerajaan yang benar-benar wujud dan mutlak di kawasan ini samada dari Thailand atau dari Kerajaan Perak.

Pada masa penaklukan Jepun di Tanah Melayu, Pengganas Komunis atau lebih di kenali bintang tiga telah bekerjasama dengan pemerintah British melalui Force 136 melancarkan gerakan perang Gerila melawan Jepun. Pengganas Komunis menamakan pertubuhan gerakan mereka dengan nama MPAJA (MALAYAN PEOPLE ANTI JAPANESE ARMY). Pihak British membantu gerakan MPAJA ini dengan membekalkan senjata yang akhirnya ianya menjadi senjata memakan tuan. Selepas Jepun menyerah kalah, MPAJA bertukar kembali ke matlamat asal mereka iaitu menentang British dan menyebarkan fahaman komunis. Sejarah pemerintahan bintang tiga selama 14 hari sebaik sahaja Jepun menyerah kalah telah memakan begitu banyak korban terutamanya orang Melayu. Malah ada lapuran mengatakan lebih ramai orang Melayu mati dibunuh semasa 14 hari bintang tiga memegang kuasa dibandingkan dengan 3 tahun Jepun memerintah Malaya. Inilah puncanya mengapa orang Melayu perkampungan Belum Lama terpaksa bekerjasama dengan pengganas komunis walaupun mereka pada dasarnya tidak menyokong fahaman komunis. Pada masa itu British tidak berdaya memberi perlindungan keselamatan kepada semua kawasan terutamanya kawasan pendalaman seperti Lembah Belum ini.

Akhirnya dharurat terpaksa di istiharkan di Tanah Melayu pada tahun 1948 apabila gerakan bersenjata Parti Kominis Malaya bertambah kuat menggugat negeri-negeri di semenanjung Tanah Melayu.

Gerakan membanteras pengganas yang dijalankan oleh British terhadap pengganas komunis begitu berkesan di kawasan tengah semenanjung Tanah Melayu hingga memaksa pengganas berundur dan bersembunyi di kawasan sempadan Thailand yang mana kawasan ini jauh dari litupan keselamatan pemerintah British. Seterusnya pengganas komunis telah menjadikan Kampung Belum Lama sebagai pengkalan untuk mendapat bekalan metarial dan juga tenaga manusia secara paksaan kerana kawasan tersebut adalah kawasan tradisi mereka.

Setelah pergerakan bersenjata pengganas komunis di kawasan tengah semenanjung Tanah Melayu dapat diredakan, pihak British mula menumpukan dikawasan pendalaman dan sempadan termasuklah kawasan Lembah Belum (Kampung Belum Lama).

SEJARAH PERPINDAHAN

Pada16 Mac 1952 Gerakan menawan kawasan Kg Belum Lama dan Lembah Belum dari cengkaman pengganas komunis dilancarkan dengan melibatkan semua pasukan keselamatan seperti tentera payung terjun, tentera darat, polis dan pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat Daerah Gerik dan Negeri Perak dan negeri Kelantan.

Setelah pasukan keselamatan menguasai perkampungan Lembah Belum dan sekitarnya, semua penduduk kg Belum Lama telah diarahkan berpindah dengan sehelai sepinggang. Dengan di iringi oleh tentera, penduduk kg Belum Lama dengan berat hati mula berjalan kaki meninggalkan kampung halaman mereka bermula dari Kg Belimbing di Belum Lama. Mereka di pecahkan kepada lima kumpulan dimana setiap kumpulan diketuai oleh seorang penduduk yang terpilih. Setiap kumpulan mengandungi lebih kurang 50 orang. Kesemua yang dipindahkan berjumlah lebih kurang 250 orang. Mereka diarahkan berjalan kaki merentasi hutan belantara sempadan Perak/Thai, sempadan Perak/Kelantan dan seterusnya bermalam di Kg Kalai di Jeli Kelantan. Mereka menyambung perjalanan dan bermalam di Batu Melintang. Menyambung kembali perjalanan dan bermalam di Sungai Mekong berhampiran Jeli. Seterusnya mereka meneruskan perjalanan hingga ke Kg Jeli di Kelantan. Keseluruhan perjalanan mengambil masa seminggu.

Mereka tinggal di Jeli Kelantan lebih kurang seminggu dan seterusnya di angkut dengan trak tentera ke Pengkalan Chepa berhampiran Kota Baharu Kelantan. Di sana mereka ditempatkan sementara di bangunan penjara Pengkalan Chepa yang baru siap dibina.

Setelah sebulan di Pengkalan Chepa mereka diangkut pula dengan kapal terbang ke Taiping Perak. Dari Taiping Perak mereka sekali lagi diangkut dengan trak tentera dan ditempatkan ke penempatan semetara di kampung Gerik berhampiran rumah Pegawai Daerah sekarang. Pada masa sekarang tempat tersebut dijadikan perkampungan transit untuk orang asli di pekan Gerik.

MENCARI PENEMPATAN BARU

Perpindahan penduduk kampung Belum Lama dilakukan dalam keadaan kecemasan dimana tidak ada penempatan baru yang tetap dan sempurna di sediakan secara terangcang . Setelah semua orang Belum Lama ditempatkan di Kg Gerik, pihak pentadbir British mula mencari penempatan baru di sekitar Gerik, Lenggong hingga ke Bruas Perak. Akhirnya penduduk kampung Belum Lama dengan berat hati memilih Bendang Puru atau Padang Puru untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Penduduk Kg Belum Lama dipindahkan ke sini pada awal tahu 1953 dan dinamakan semula tempat tersebut dengan nama KAMPUNG BELUM BARU mengambil sempena KAMPUNG BELUM LAMA yang mereka tinggalkan secara paksa di Lembah Belum.

KG BELUM BARU DAN KG BELUM LAMA TIADA KAITAN DENGAN ORANG ASLI

Kampung Belum Baru terletak lebih kurang 100km dari Lembah Belum. Lokasinya lebih kurang 3km ke selatan pekan Lawin.

Sejak dibawah naungan kerajaan Patani (Siam) lagi, daerah perkampungan Belum Lama adalah merupakan sebuah Daerah atau Mukim yang lengkap mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung. Juga mempunyai kemudahan masjid dan sekolah. Pemegang jawatan ketua di perkampungan ini adalah mengikut pangkat jawatan di kalangan masyarakat Melayu seperti Tok Penghulu dan Tok Ketua (ketua kampung). Semasa orang Melayu Patani tinggal di Belum Lama, memang ada orang Asli tinggal di kawasan tersebut tetapi mereka tidak menjadi kaum dominan dikawasan tersebut sebagaimana juga orang Asli di tempat lain pada masa ini. Malah ada diriwayatkan bahawa pernah terjadi perbalahan di antara orang Melayu dan orang Asli di kawasan tersebut pada satu masa dahulu.

Hanya selepas tahun 1952 iaitu setelah orang Melayu dipaksa pindah ke penempatan Kampung Belum Baru sekarang barulah orang Asli mendominasikan kawasan tersebut (Belum Lama). Pangkat jawatan seperti 'Tok Batin' adalah jawatan atau pangkat ketua orang asli. "Tok Batin” tidak digunakan untuk jawatan dalam masyarakat orang Melayu. Malah kebudayaan dan adat kaum orang asli adalah berlainan daripada adat orang Melayu. Hanya sejak kebelakangan inilah sahaja terdapat kaum orang asli yang mengikut adat orang Melayu kerana ada yang telah memeluk agama Islam dan telah bergaul dengan orang Melayu.

Pada masa dahulu kaum orang asli mengamalkan kehidupan nomad (berpindah randah). Sara hidup mereka adalah dari hasil hutan semula jadi iaitu binatang buruan, ikan dan tumbuh-tumbuhan hutan. Mereka tidak bercucuk tanam tanaman kekal melainkan tanaman kontan seperti ubi kayu, padi bukit (huma) dan jagung. Hingga kini masih ada lagi beberapa kumpulan kaum orang Asli yang mengamalkan kehidupan nomad ini.

Di kawasan bekas penempatan penduduk Kampung Belum Lama masih terdapat kesan sawah padi, tali air, dusun buah-buahan dan kerbau liar. Lain-lain tanda bekas peninggalan bekas penduduk Kg Belum Lama adalah 11 kawasan tanah perkuburan Islam. Ini membuktikan bahawa kawasan Kampung Belum Lama adalah bekas penempatan orang Melayu Islam yang mengusahakan sawah padi, ternakan kerbau dan tanaman dusun buah-buahan seperti Durian, Langsat, Rambai dan Bacang serta amalan mengebumikan jenazah secara Islam. Oleh itu, tidak timbul persoalan yang menyatakan bahawa terdapat bekas penempatan orang asli di situ kerana orang asli tidak melakukan perkara yang dinyatakan diatas.

Pada masa sekarang pelawat yang mengunjungi perkampungan Belum Lama berpeluang mendapatkan pengalaman alam semula jadi dengan melawat penempatan orang asli dan lain-lain pengalaman di dalam hutan di kawasan Belum Lama kerana tiada lagi orang Melayu tinggal disana. Namun demikian untuk mendapatkan cerita sebenarnya sejarah masa lampau Kampung Belum Lama dan kaitannya dengan Kampung Belum Baru, pelawat bolehlah melawat ke Kampung Belum Baru. Adalah lebih relevan sekiranya bakal pelawat mendapatkan khidmat pandu arah untuk ke kawasan Kampung Belum Lama dari penduduk kampung Belum Baru kerana merekalah yang sebenarnya tahu asal usul Kampung Belum Lama.

KAMPUNG BELUM BARU

Hampir 85% penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah generasi baru kerana ramai dikalangan penduduk asal yang berpindah dari Lembah Belum telah meninggal dunia. Namun demikian bagi beberapa orang yang masih ada, walaupun kebanyakannya telah uzur tetapi masih lagi mempunyai daya ingatan yang baik dan dapat menceritakan kisah-kisah lampau kampung Belum Lama. Sementara itu pemuda/generasi baru penduduk kampung Belum Baru telah dibekalkan dengan pengetahuan berhubung dengan kisah/riwayat Belum Lama yang diperturunkan oleh orang tua mereka. Usaha ini dijalankankan agar tidak timbul salah faham berhubung dengan perkampungan Belum Lama yang dianggap oleh setengah pihak adalah bekas penempatan orang asli sedangkan penempatan Belum Lama adalah sebuah Mukim yang ditadbirkan oleh orang Melayu keturunan Patani yang sekarang ini adalah penduduk Kampung Belum Baru.

Atas inisiatif pihak berwajib, beberapa orang pemuda kampung Belum Baru telah dihantar mengikuti kursus Pemandu Pelancong untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan mengenai pelacongan terutamanya mengenai Lembah Belum. Di samping itu mereka juga telah beberapa kali melawat sendiri ke kampung asal keturunan mereka di perkampungan Belum Lama Lembah Belum - The Royal Belum. Sekiranya ada pihak yang berminat untuk melawat perkampungan Belum Lama, silalah datang ke Kampung Belum Baru kerana maklumat yang didapati adalah lebih tulen.

Pada masa ini banyak pihak tertentu lebih mengutamakan ‘komersial’ dari cerita sebenar perkampungan Lembah Belum dan kaitannya dengan kampung Belum Baru. Fenomena ini amat menyedihkan kerana sejarah perkampungan Belum Lama dan kaitannya dengan kampung Belum Baru akan terhakis di telan masa. Mungkinkah kita termasuk dalam kelompok mereka-mereka yang tidak menghargai sejarah. Bangsa Barat dan Cina menghargai sejarah. Mereka belajar dari sejarah dan kini mereka maju menguasai dunia.

FAKTA

- Kg Belum Lama dalam Lembah Belum adalah bekas kampung penduduk Kg Belum Baru

- Penduduk Kg Belum Baru adalah 100% Melayu Islam.

- Penduduk Kg Belum Lama di pindahkan pada tahun 1952 - zaman dharurat. Tidak ada penempatan baru yang teratur.

- Kg Belum Lama di pindahkan sebab dharurat, bukan kerana pembinaan Tasik Empangan Temengor.

- Perpindahan penduduk Kg Belum Lama tidak sama dengan perpindahan orang Temengor ke penempatan Air Ganda.

- Orang Temengor pindah pada awal tahun 1970'an dan di pindah secara teratur siap dengan penempatan baru.

- Orang Temengor di pindahkan sebab pembinaan empangan Temengor.

- Kg Belum Baru di buka pada awal tahun 1953

- Kg Belum Baru pada asalnya adalah tanah Bendang yang dinamakan 'Bendang Puru".

- Kg Belum Baru bukan kampung di pendalaman

- Kg Belum Baru bukan Kg Orang Asli

- Kg Belum Baru adalah kampung bercirikan kampung tradisi orang Melayu.

- Perkuburan yang terdapat di Lembah Belum (Kg Belum Lama) adalah perkuburan Islam penduduk Kg Belum Lama.

- Kerbau liar yang terdapat di Lembah Belum sekarang adalah baka keturunan dari kerbau yang di tinggalkan oleh bekas penduduk kg Belum Lama.

- Pokok buah-buahan yang terdapat di bekas perkampungan Belum Lama adalah dusun buah-buahan penduduk kg Belum Lama. Bukan pokok yang ditanam oleh orang Asli.

Susunan Zahari Bin Mat Taib


PERKAMPUNGAN BELUM LAMA DI LEMBAH BELUM - ‘THE ROYAL BELUM’
DAN KAITANNYA DENGAN PENDUDUK KAMPUNG BELUM BARU SEKARANG

14 Jan 2007

Pengenalan
Kampung Belum Baru terletak di tengah perjalanan antara pekan Gerik dan pekan Lenggong di daerah Hulu Perak (Lebih kurang 27 km kedua-dua arah.) Keluasan penempatan penduduk kampung Belum Baru adalah lebih kurang 3 km persegi. Terdapat 150 buah rumah dengan jumlah penduduknya seramai lebih kurang 1,000 orang. Pekerjaan utama penduduk adalah pengusaha kebun kecil getah.

Nama kampung Belum Baru diberikan bersempena dengan nama sebuah penempatan asal penduduk kampung Belum Baru sekarang yang terletak di pendalaman Lembah Belum (Kampung Belum Lama) atau dikenali sekarang The Royal Belum. Nama asal penempatan kampung Belum Baru sekarang adalah ‘Padang Puru’atau ‘Bendang Puru’.

Kampung Belum Lama terletak lebih kurang 100 km dari pekan Gerik. Untuk sampai ke Kampung Belum Lama atau The Royal Belum ini, pelawat boleh menggunakan kenderaan darat sehingga ke Pulau Banding. Dari sana pelawat perlu menaiki bot dari pengkalan bot di Jeti Awam Pulau Banding hingga ke Kuala Kejar selama lebih kurang 45 minit hingga 1 Jam 30 minit (bergantung kepada kelajuan bot)

Jeti Awam Pulau Banding

Dari Kuala Kejar pelawat perlu berjalan kaki selama lebih kurang 5 hingga ke 6 jam untuk sampai di permulaan penempatan lama kampung Belum Lama. Untuk sampai ke penempatan sebenar Kampung Belum Lama, pelawat perlu berjalan kaki selama 4 hingga 5 jam lagi untuk sampai ke Sepor iaitu perkampungan Belum Lama yang paling atas sekali. Semua perkampungan lama Kampung Belum Lama terletak di sepanjang sungai Perak bermula dari Ateng hingga ke Sepor.

Latar Belakang Sejarah Penduduk Dan Perkampungan Belum Lama

Penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah merupakan keturunan asal Melayu Patani yang tinggal di Perkampungan Belum Lama sejak berkurun dahulu lagi di bawah naungan kerajaan Patani/Siam (Pemerintahan Raja Reman atau Raja Rahman). Pemerintah Inggeris yang menguasai negeri-negeri Melayu sebelum kemerdekaan dahulu telah mengambil Daerah Belum Lama ini dan meletakkannya dalam peta negeri Perak pada tahun 1909 melalui perjanjian British Siam.

Pada 16 Mac 1952 penduduk kampung Belum Lama telah dipindahkan oleh kerajaan British secara paksa ke penempatan sekarang iaitu kampung Belum Baru disebabkan pengganas komunis telah menjadikan kampung Belum Lama sebagai pengkalan dan tempat mendapatkan bekalan dan menghasut penduduk. Kampung Belum Baru mula dihuni pada awal tahun 1953.

Sejak dibawah naungan kerajaan Patani (Siam) lagi, daerah perkampungan Belum Lama adalah merupakan sebuah Daerah atau Mukim yang lengkap mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung. Juga mempunyai kemudahan masjid dan sekolah. Pemegang jawatan ketua di perkampungan ini adalah mengikut pangkat jawatan di kalangan masyarakat Melayu seperti Tok Penghulu dan Tok Ketua (ketua kampung). Semasa orang Melayu Patani tinggal di Belum Lama, memang ada orang Asli tinggal di kawasan tersebut tetapi mereka tidak menjadi kaum dominan dikawasan tersebut sebagaimana juga orang Asli di tempat lain pada masa ini. Malah ada diriwayatkan bahawa pernah terjadi perbalahan di antara orang Melayu dan orang Asli di kawasan tersebut pada satu masa dahulu.

Hanya selepas tahun 1952 iaitu setelah orang Melayu dipaksa pindah ke penempatan Kampung Belum Baru sekarang barulah orang Asli mendominasikan kawasan tersebut. Pangkat jawatan seperti 'Tok Batin' adalah jawatan atau pangkat ketua orang asli. "Tok Batin” tidak digunakan untuk jawatan dalam masyarakat orang Melayu. Malah kebudayaan dan adat kaum orang asli adalah berlainan daripada adat orang Melayu. Hanya sejak kebelakangan inilah sahaja terdapat kaum orang asli yang mengikut adat orang Melayu kerana ada yang telah memeluk agama Islam dan telah bergaul dengan orang Melayu.

Pada masa dahulu kaum orang asli mengamalkan kehidupan nomad (berpindah randah). Sara hidup mereka adalah dari hasil hutan semula jadi iaitu binatang buruan, ikan dan tumbuh-tumbuhan hutan. Mereka tidak bercucuk tanam tanaman kekal melainkan tanaman kontan seperti ubi kayu, padi bukit (huma) dan jagung. Hingga kini masih ada lagi beberapa kumpulan kaum orang Asli yang mengamalkan kehidupan nomad ini.

Di kawasan bekas penempatan penduduk Kampung Belum Lama masih terdapat kesan sawah padi, tali air, dusun buah-buahan dan kerbau liar. Lain-lain tanda bekas peninggalan bekas penduduk Kg Belum Lama adalah 11 kawasan tanah perkuburan Islam. Ini membuktikan bahawa ianya adalah bekas penempatan orang Melayu Islam yang mengusahakan sawah padi, ternakan kerbau dan tanaman dusun buah-buahan seperti Durian, Langsat, Rambai dan Bacang serta amalan mengebumikan jenazah secara Islam. Oleh itu, tidak timbul persoalan yang menyatakan bahawa terdapat bekas penempatan orang asli di situ kerana orang asli tidak melakukan perkara yang dinyatakan diatas.

Pada masa sekarang pelawat yang mengunjungi perkampungan Belum Lama berpeluang mendapatkan pengalaman semula jadi melawat penempatan orang asli dan lain-lain pengalaman di dalam hutan di kawasan Belum Lama kerana tiada lgi orang Melayu tinggal disana. Namun demikian untuk mendapatkan cerita sebenarnya sejarah masa lampau Kampung Belum Lama dan kaitannya dengan Kampung Belum Baru, pelawat bolehlah melawat ke Kampung Belum Baru. Adalah lebih relevan sekiranya bakal pelawat mendapatkan khidmat pandu arah untuk ke kawasan Kampung Belum Lama dari penduduk kampung Belum Baru kerana merekalah yang sebenarnya tahu asal usul Kampung Belum Lama.

Hampir 85% penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah generasi baru kerana ramai dikalangan penduduk asal yang berpindah dari Lembah Belum telah meninggal dunia. Namun demikian bagi beberapa orang yang masih ada, walaupun kebanyakannya telah uzur tetapi masih lagi mempunyai daya ingatan yang baik dan dapat menceritakan kisah-kisah lampau kampung Belum Lama. Sementara itu pemuda/generasi baru penduduk kampung Belum Baru telah dibekalkan dengan pengetahuan berhubung dengan kisah/riwayat Belum Lama yang diperturunkan oleh orang tua mereka. Usaha ini dijalankankan agar tidak timbul salah faham berhubung dengan perkampungan Belum Lama yang dianggap oleh setengah pihak adalah bekas penempatan orang asli sedangkan penempatan Belum Lama adalah sebuah Mukim yang ditadbirkan oleh orang Melayu keturunan Patani yang sekarang ini adalah penduduk Kampung Belum Baru.

Atas inisiatif pihak berwajib, beberapa orang pemuda kampung Belum Baru telah dihantar mengikuti kursus Pemandu Pelancong untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan mengenai pelacongan terutamanya mengenai Lembah Belum. Di samping itu mereka juga telah beberapa kali melawat sendiri ke kampung asal keturunan mereka di perkampungan Belum Lama Lembah Belum - The Royal Belum. Sekiranya ada pihak yang berminat untuk melawat perkampungan Belum Lama, silalah datang ke Kampung Belum Baru kerana maklumat yang didapati adalah lebih tulen. Pada masa ini banyak pihak tertentu lebih mengutamakan ‘komersial’ dari cerita sebenar perkampungan Lembah Belum.

Pengistiharan The Royal Belum

Ketua kampung Belum Baru berakit untuk mengadap Sultan Perak di tapak pelancungan Kuala Sungai Kejar Tasik Empangan Temenggor (Tasik Banding)

HJ Mat Karim Bin Mat Ketua Kg Belum Baru, Mendarat di Kuala Kejar bersama penduduk Kg Belum Baru untuk mengadap Sultan

Hj Mat Mat karim menyerahkan Buku Watikah Pengistiharan “The Royal Belum” kpd YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Perak untuk di persembahkan kepada DYMM Paduka Sri Sultan Perak

YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Perak Menyembahkan Buku Watikah Pengistiharan “The Royal Belum” kepada DYMM Paduka Sri Sultan Perak Untuk Di Rasmikan Oleh Baginda.

Ketua Kg Belum Baru Hj Mat Karim Mengadap DYMM Paduka Sri Sultan Perak Sebelum Berundur Diri

Adalah lebih menarik sekiranya sejarah The Royal Belum diselaraskan dengan sejarah Perkampungan Belum Lama dan Kampung Belum Baru agar ianya tidak lenyap daripada lipatan sejarah. Pada hari pelancaran perasmian The Royal Belum pada 31 Julai 2003 oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak di kompleks pelancongan Kuala Kejar Tasik Empangan Temenggor (Tasik Banding), Ketua Kampung Belum Baru bersama penduduk telah dijemput mengambil bahagian dalam satu upacara simbolik penyerahan watikah Pengistiharan The Royal Belum oleh Ketua Kampung Belum kepada DYMM Paduka Sri Sultan Perak dengan disaksikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Perak Dato’ Sri Diraja Mohd Tajol Rosli. Upacara tersebut adalah sebagai pengitirafan pihak istana dan kerajaan negeri Perak terhadap kaitan Penduduk Kampung Belum Baru dengan Perkampungan Belum Lama yang kini terletak dalam The Royal Belum.

Apa yang diharapkan adalah dengan adanya acara yang sedimikian itu maka penduduk kampung Belum Baru tidak terpinggir atau disisihkan dari dalam peta dan sejarah hubungkaitnya dengan kampung Belum Lama “Lembah Belum – Royal Belum”

Perpindahan Beramai-Ramai



Hj Mohamed Bin Awang Kechik ( Pak Teh ) Salah seorang dari generasi pertama yang berpindah dari Belum Lama ke Kg Belum Baru kini berusia 89 tahun

Perpindahan penduduk dari Lembah Belum ke kampung Belum Baru sekarang yang dilaksanakan oleh pentadbir British pada 16 March 1952 adalah perpindahan yang paling menyeksakan sekali dalam sejarah pemindahan di zaman darurat di Tanah Melayu dari 1948 hingga tahun1960. Untuk memudahkan kawalan semasa perpindahan, penduduk Mukim Belum Lama dikumpul dan kemudian dipecahkan kepada lima kumpulan dimana setiap kumpulan terdiri dari 50 orang dengan dikepalai oleh seorang ketua dari kalangan penduduk. Mereka diarah keluar dari rumah masing-masing sehelai sepinggang iaitu tidak dibenarkan membawa apa-apa juga barang melainkan yang terlekat dibadan sahaja. Rumah kediaman, padi di jelapang dan di sawah dibakar untuk mengelakkan ianya menjadi tempat perlindungan bekalan untuk pengganans komunis. Ternakan kerbau dibunuh walaupun kebanyakannya terlepas lari ke dalam hutan dan membiak hingga kini.

Penduduk Mukim Belum Lama ini yang terdiri dari semua peringkat umur diarah berjalan kaki selama lebih kurang 1 minggu melalui hutan belantara merentasi sempadan Perak dan Thailand hingga ke Jeli di Kelantan. Hanya mereka yang sakit dan amat lemah dan terlalu uzur dan tua sahaja di pindahkan dengan pengangkutan udara ke Batu Melintang di Kelantan.

Dari Jeli seterusnya mereka diangkut dengan trak pengangkut ke Kota Baharu Kelantan dan ditempatkan sementara di kompleks penjara yang baru siap dibina di Pengkalan Chepa. Setelah sebulan di Kota Baharu, mereka diangkut pula dengan penerbangan dari Pengkalan Chepa ke Taiping Perak. Seterusnya penduduk yang keletihan ini diangkut pula dengan trak sekali lagi dari Taiping dan ditempatkan sementara di Kampung Gerik (Berhampiran kediaman Pegawai Daerah Gerik sekarang).

Setelah hampir setahun di Kg Gerik, akhirnya pada awal tahun 1953 (tarikh tepat tidak diperolehi) bekas penduduk kampung Belum lama ini telah ditempatkan secara kekal di kampung Belum Baru sekarang. Tempat ini telah ditebus guna oleh kerajaan British dari tuan punya tanah asal untuk dijadikan penempatan gantian kepada penduduk Belum Lama yang dipindahkan.

Kerajaan British membekalkan beberapa bidang atap ‘cucuh’ (atap yang dibuat dari sejenis daun ‘palma’ hutan) sebagai bantuan membina rumah. Keperluan lain seperi kayu dan buluh dicari sendiri oleh penduduk dari hutan. Sebagai bantuan semasa proses peralihan, kerajaan British juga membekalkan catuan makanan kepada penduduk lebih kurang setahun sehingga penduduk mendapat sumber pencarian jangka pendek mereka dengan mengambil upah menoreh getah dari tuan punya kebun getah di sekitar Mukim Kenering.

Dalam masa yang sukar ini dan dengan kebenaran pentadbir British pada masa itu; disamping mengambil upah menoreh getah, penduduk telah membersihkan tanah hutan berhampiran kampung setakat yang terdaya dan menanam padi bukit untuk makanan disamping menanam getah. Anak benih getah yang mereka tanam adalah atas usaha sendiri tanpa mendapat bantuan daripada pihak pentadbir British.

Penduduk kampung Belum Baru iaitu bekas penduduk Kampung Belum Lama adalah merupakan penduduk yang tahan lasak dan berdikari. Diperingkat awal penempatan di kampung Belum Baru, kehidupan mereka amat sukar. Bagaimanapun mereka telah berusaha mewujudkan pekerjaan mereka sendiri dengan mengambil upah menoreh getah, membuka ladang getah dengan menanam padi dan pisang sebagai tanaman kontan untuk makanan dan menternak kerbau dan lembu secara pawah dengan penduduk asal Mukim Kenering. Punca pendapatan lain mereka adalah mendulang bijih timah hingga jauh ke dalam hutan walaupun penggananas komunis masih menjadi ancaman pada masa itu.

Kearah Kehidupan Moden

Pihak British memang ada mendirikan sekolah di Perkampungan Belum Lama sebelum perpindahan tetapi perkembangan pendidikan di sana tidaklah begitu baik mungkin di sebabkab latar belakang kehidupan pada masa itu. Namun demikian setelah berpindah ke Kampung Belum Baru, walaupun dalam keadaan yang amat sukar, mereka tetap sedar peri mustahaknya kepentingan pelajaran untuk anak-anak. Dalam serba kepayahan dan kesempitan itu mereka telah menghantar anak-anak bersekolah di sekolah kebangsaan yang berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Kenering di Kampung Malau. Hingga akhirnya ada dikalangan anak cucu mereka yang telah mencapai kejayaan hingga ke menara gading. Hasil dari pendidikan yang diperolehi, kini ramai dari generasi baru penduduk kampung Belum Baru telah berjaya menjadi ahli politik, pegawai kerajaan, peniaga dan usahawan yang berjaya.

Ternyata kini penduduk kampung Belum Baru telah maju dan hidup dalam arus kemodenan. Ini terbukti dengan adanya Sekolah Agama Rakyat, Dewan Orang Ramai , TASKA, TADIKA, Dewan Pemuda dan masjid yang didirikan oleh kerajaan di kampung ini. Pertubuhan sosial dan politk wujud dan diseimbangkan dengan kemajuan dari aspek ekonomi, pelajaran, sukan dan keagamaan. Masjid Kampung Belum Baru yang diberi nama Masjid Nur Al-Huda adalah merupakan masjid yang aktif dengan program keagamaannya. Adalah dikatakan bahawa masjid ini adalah salah satu dari masjid di Hulu Perak yang dihadiri ramai jemaah menunaikan sembahyang berjemaah dimasjid pada setiap waktu.

Disamping itu Kampung Belum Baru telah dibekalkan sepenuhnya dengan semua kemudahan asas seperti air, letrik, telefon dengan kemudahan perkhidmatan jalurlebar Streamyx, jalan berturap dan lain-lain.

Belia & Sukan


Manakala dari aspek sukannya pula, pasukan bolasepak Kampung Belum Baru adalah pencabar terkuat dan disegani dalam pertandingan bolasepak Mukim Kenenring dan juga dalam Daerah Hulu Perak.

Dalam menjayakan kerja kenduri kahwin di kampung dan pengurusan pengkebumian, pemuda kampung Belum Baru memberikan sumbangan tenaga yang amat besar.

Potensi Ekonomi / Pelancungan

Perusahan ternakan ikan air tawar, ternakan binatang untuk daging, pelancungan dan makanan ringan adalah berpotensi besar untuk dimajukan. Kampung Belum Baru mempunyai padang ragut berkelompok seluas lebih kurang 300 ekar. Sementara itu tasik empangan Kenering secara semulajadinya sangat sesuai untuk ternakan ikan dalam sangkar. Beberapa orang wanita di kampung Belum Baru amat mahir membuat snek tempeyek dan kerepek pisang. Pengetahuan penduduk dan hubungan sejarah antara kampung Belum Baru dengan Kampung Belum Lama (Lembah Belum & ‘Royal Belum’) berpotensi untuk perusahaan pelancungan.

Penutup

Rencana ini ditulis sebagai usaha penulis untuk memberi gambaran sebenar kaitan penduduk Kampung Belum Lama (The Royal Belum) dengan penduduk Kampung Belum Baru sekarang kepada masyarakat umum. Tidak timbul persoalan penduduk Kampung Belum Baru tinggal di teratak buruk dan menjalani kehidupan seperti orang Asli di pendalaman. Penduduk Kampung Belum Baru adalah berasal dari MELAYU PATANI beragama Islam dan mempunyai susun atur masyarakat sebagaimana dengan lain-lain orang Melayu di Malaysia. Setelah 54 tahun di pindahkan, pencapaian kemajuan penduduk Kampung Belum Baharu adalah setanding dengan lain-lain penduduk asal di Daerah ini.

Apa yang diperlukan oleh penduduk kampung Belum baru adalah seperti juga dengan kawasan lain iaitu menaik taraf keperluan asas seperti jalan-jalan dalam kampung dan dalam kebun. Hasil dari program pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan semenjak mardeka, taraf kesihatan dan ekonomi penduduk telah meningkat. Penambahan generasi baru begitu mendadak. Dengan itu keperluan tapak rumah dan tanah pertanian untuk generasi baru ini sudah pasti akan menjadi agenda utama dalam merangka pelan pembangunan kampung bermula dari sekarang.

Zahari Bin Mat Taib
Setiausaha JKKK
Kg Belum Baru

No comments: