Sunday, May 1, 2011

SEJARAH MASJID NUR AL HUDA KG BELUM BARU

SEJARAH MASJID KG BELUM BARU
Masjid Nur Al-Huda Kampung Belum Baru
Sejarah masjid di kampung Belum Baru bermula dari sebuah surau yang didirikan sebaik sahajapenduduk mula menghuni Kg Belum Baru iaitu dalam tahun 53.

Surau yang diperbuat dari kayu dan beratapkan zink tersebut berfungsi sebagai tempat ibadah dan tempat penduduk berkumpul menyelesaikan pentadbiran kampung.

Semasa zaman darurat hingga ke era awal tahun 70’an, surau ini dijadikan tempat perlindungan keselamatan pada malam hari dan diwaktu kecemasan. Oleh kerana gerakan pengganas komunis sentiasa mengancam di kawasan ini, pada waktu malam semua penduduk akan berkumpul dan bermalam disurau dan pada siangnya barulah kembali ke rumah masing-masing.

Surau kampung Belum Baru hanya digunakan untuk sembahyang berjemaah sahaja. Untuk menunaikan solat Jumaat penduduk kampung Belum Baru dikirakan termasuk dalam kariah Kampung Malau dan bersembahyang di masjid kampung tersebut yang terletak lebih kurang 1.5 km dari Kg belum Baru. Malah ada imam, bilal dan siak dari kampung Belum Baru pernah bertugas di masjid Kg Malau. Antaranya adalah Tn Hj Osman Bin Mat Yasin sebagai Imam, En Yusof Bin Mohd Noh dan Allahyarham Hj Yazid Bin Lembut sebagai Bilal serta Allahyarhan Hj Che Putih Bin Diman sebagai Siak.

Pada awal tahu 80’an, penduduk kampung Belum Baru bertambah ramai. Para jemaah di masjid kampung Malau bertambah sesak. Jemaah yang terdiri dari penduduk kampung Belum Baru lebih ramai dari jemaah penduduk Kampung Malau dan Kg Air Jada. Tambahan pula pengangkutan pada masa itu agak sukar. Pada hari Jumaat mereka tidak boleh pergi bekerja di kebun getah kerana lebih kurang jam 10.00 pagi mereka terpaksa bersedia untuk berjalan kaki ke masjid Kampung Malau untuk menunaikan solat Jumaat.

Dengan beberapa alasan tersebut maka ahli Kariah dari kampung Belum Baru berhasrat agar kampung Belum Baru mempunyai masjid mereka sendiri. Sebuah Jawatankuasa Penaja telah ditubuhkan bagi merealisasikan pembinaan masjid di kampung Belum Baru. Jawatankuasa penaja tersebut adalah seperti berikut:-

Pengerusi - Tn Hj Sidek Bin Hj Sahak

Setiausaha ­- Tn Hj Osman Bin Mat Yasin

S/Usaha Pembangunan:-

1. En Mohd Nazri Bin Bustaman - Penghulu Mukim Kenering

2. Tn Hj Mat Karim Bin Mat - Ketua Kampung Belum Baru

AJK En Bidin

PTA Gerik pada masa itu Tn Hj Husin mengarahkan agar banci ahli kariah kampung Belum Baru dijalankan bagi memastikan cukup jemaah untuk mendidirkan solat Jumaat. Setelah bancian di jalankan didapati bahawa kariah kampung Belum Baru yang layak dan aktif menunaikan solat Jumaat adalah seramai 200 orang.

Dengan itu Jawatankuasa Penaja membuat permohonan kepada Menteri Besar Perak pada masa itu iaitu Dato’ Sri Ramli Ngah Talib agar meluluskan peruntukan membina sebuah masjid di kampung Belum Baru.

Akhirnya cita-cita penduduk kampung Belum Baru direstui oleh Allahsubhanahuwataala. Pada mulanya peruntukan sebanyak RM80,000.00 diluluskan dengan syarat pembinaannya dijalankan secara gotong royong. Semasa pembinaan dijalankan, peruntukan tersebut di tambah RM40,000.00 lagi menjadi RM120,000.00.

Berikutan dengan kelulusan tersebut, perbincangan diadakan untuk menentukan bentuk bangunan masjid tersebut. Oleh kerana penduduk Kampung Belum Baru berasal dari keturunan Pattani, nostalgia warisan masih kekal dalam diri mereka. Jadi mereka berhasrat menzahirkanya dalam bentuk bangunan masjid yang menyerupai masjid Pekan di Pattani, Selatan Tahiland.
Tidaklah menyerupai 100% dengan masjid Jedok Di Kelantan tetapi mempunyai ciri-cici fizikal masjid tersebut

Keputusan dibuat iaitu bangunan masjid kampung Nibong dan masjid kampung Jedok di daerah Jeli Kelantan mempunyai ciri-ciri bentuk binaan yang mereka kehendaki. Tinjauan dijalankan dan keputusan dibuat iaitu bentuk bangunan masjid di kampung Jedok akan dijadikan contoh bentuk bangunan masjid kampung Belum Baru.

Pembinaan masjid Kampung Belum Baru mula dilaksanakan pada tahun 1985 dan siap dan digunakan beberapa bulan kemudian dengan kos mencecah RM120,000.00. Dewan sembahyang masjid boleh menampung seramai lebih kurang 260 orang jemaah pada satu-satu masa. Kerja-kerja pembesaran dan penambahbaikan dijalankan dari masa ke semasa melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah terutamanya pada hari Jumaat dan Sembahyang dua hari raya setiap tahun.

Semasa diperingkat awal pembinaan masjid, jawatan Pengerusi telah bertukar dari Tn Hj Sidek kepada Tn Hj Mat Karim. Di bawah pentadbiran Pengerusi yang baru ini barulah pembinaan masjid berjalan dengan lancar dan sempurna hingga dapat digunakan pada tahun 1986.

Pada tahun 2005, masjid ini telah diberikan nama rasminya iaiytu “MASJID NUR AL-HUDA KG. BELUM BARU”. Nama ini di pilih oleh tiga orang penuntut Hafiz Al-Quran dari Rantau Panjang Kelantan yang dijemput datang ke Kampung Belum Baru bagi mengimamkan sembahayang Tarawikh di bulan Ramadhan pada tahun tersebut. Namun setelah hampir 23 tahun di gunakan, sehingga sejarah ini ditulis masjid ini masih lagi belum ‘dirasmikan’ secara ‘resminya’.

Sehingga ini Masjid Nur Al-Huda Kg Belum Baru di iktiraf sebagai salah sebuah masjid di Daerah Hulu Perak yang dihadiri ramai jemaah pada setiap waktu termasuklah kehadiran di majlis aktiviti keagamaan yang dijalankan dari masa kesemasa.

Oleh Zahari Bin Mat Taib

No comments: