Sunday, May 1, 2011

KISAH PERJUANGAN MOHD TAIB SEMASA PEMERINTAHAN JEPUN


KISAH PERJUANGAN AYAHKU

Sedang aku menyelongkar grobok buruk mencari satu dokumen lama yang agak penting, yang dicari entah ke mana menghilang tetapi aku berjumpa pula dokumen lain yang aku anggap lebih bernilai dari yang aku cari.

Satu keratan akhbar “Bacaria’” bertarikh 6 Disembar 1989. Sebuah rencana perihal ayahku masuk ke hutan di kawasan Weng Selatan Tahiland membawa surat/utusan Tunku Abd Rahman kepada Chin Peng. Sebaik sahaja aku membacanya baru aku teringat yang ayahku pernah mengkesahkan cerita seperti yang di siarkan oleh akhbar Bacaria tersebut kepadaku sendiri. Maka bertalu-talu ingatanku kembali ke zaman silam semasa ayahku masih lagi ada di bumi yang fana ini dan menceritakan satu persatu riwayat perjuangannya. Ingatanku kembali dari kisah perjuangannya bermula dari zaman Jepun lagi.

Padaku, ayahku merupakan seorang pejuang yang tulin. Nama Allahyarham tidak menjadi gah kerana Allahyarham sentiasa menyembunyikan identitinya kerana dibimbangi akan membahayakan keluarganya. Dia hanya muncul menceritakan kisahnya setelah komunis meletakkan senjata pada tahun 1989. Aku juga tidak mendedahkannya kerana memegang amanahnya. Dia pernah menyatakan kepadaku bahawa ia berjuang bukan kerana nama tetapi semata-mata untuk menghapuskan petualang yang menyusahkan rakyat iaitu pengganas komunis.

Dia pernah menceritakan kepadaku bahawa di zaman Jepun, dia memainkan peranan menyampaikan bekalan kepada pasukan ‘Force 136’ yang sedang menentang tentera Jepun di Hulu Perak. Ini disahkan sendiri oleh Lt Mohd Norani atau Cik Gu Wan Rani salah seorang pegawai Tentera Melayu dalam ‘Force 136” pada masa itu. Dalam masa yang sama, di Kampung Batu Melintang di Kelantan, ayahku memainkan peranan orang tengah menjaga rakyat agar tidak dizalimi Jepun.

Apa keistimewaan ayahku hingga menjadi oraang kepercayaan tentera Jepun?.

Pada zaman sebelum Jepun memerintah Malaya, seorang orang Jepun pernah membuka kedai jahit di Tanah Merah. Dia berkawan baik dengan ayahku dan mereka berdua amat menghormati antara satu sama lain.

Rupa-rupanya ayahku tak tahu bahawa orang Jepun tersebut adalah pengintip tentera Jepun berpangkat Kapten. Ayahku pernah memaklumkan nama Jepun tersebut kepadaku tetapi aku telah lupa. Ayahku hanya menyedarinya bila Jepun sampai di Kampung Kalai berhampiran kampongku. Walaupun Jepun ganas di tempat lain, tetapi kemungkinan atas factor keakraban ayahku dengan kapten tentera Jepun tersebut, maka tentera Jepun tidak begitu mengganas di kawasan Mukim Belimbing (kawsan Batu Melintang). Malah ayahku yang juga merupakan ketua kampong telah diberikan peranan sebagai perantara pemerintah tentera Jepun dan penduduk. Jadinya tidaklah teruk penduduk Mukim Belimbing (Kawasan Batu Melintang dan kampong-kampung sekitarnya) menerima penangan penampar dan seksaan jepun.
Atas kepercayaan Jepun inilah juga yang membolehkan ayahku memainkan peranan menyampaikan maklumat serta bekalan kepada ‘force 136’ yang berjuang menentang tentera Jepun di kawasan Hulu Perak.

Ayahku seperti dapat membaca bahawa sekiranya Jepun menyerah kalah, Pengganas Komunis akan bermaharajalela. Oleh yang demikian, semasa pendudukan Jepun, dia membuat rancangan mengambil kesempatan memusnahkan infrastruktur pengganas komunis di kawasan Hulu Pergau dengan cara bekerjasama dengan Jepun memerangi mereka. Walaupun pada masa tersebut Pengganas Komunis telah menukar nama kepada MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) dan bekerjasama dengan British melawan Jepun tetapi mereka tetap pengganas komunis yang bercita-cita untuk merampas Malaya (Tanah Melayu) dari British. Ini ayahku amat pasti. MPAJA pula terpaksa melawan tentera Jepun kerana MPAJA (Pengganas Komunis) dan keturunan Cina di Tanah Melayu adalah merupakan musuh tradisi Jepun bermula dari Tanah besar Cina lagi.

Semasa pendudukan Jepun, pengganas komunis (MPAJA) amat lemah di kawasan Batu Melintang kerana sentiasa di perangi Jepun hasil dari kerjasama ayahku. Dengan cara ini juga ayahku mendapat kepercayaan dan keyakinan dari pihak tentera Jepun. Dengan itu tentera Jepun menaruh kepercayaan penuh kepada ayahku dalam soal keselamatan di kawasan Batu Melintang. Dengan adanya kepercayaan Jepun ini ianya telah membuka peluang kepada ayahku untuk membantu ‘Force 136’tanpa disyaki. Malah ayahku dan Lt Mohd Norani menceritakan kepada ku bahawa satu pasukan Force 136 pernah berkhemah hampir dengan Batu Melintang tanpa disedari oleh pihak Jepun hasil usaha ayahku. Kini Lt Mohd Norani dan ayahku telah meninggal dunia untuk mengesahkannya. Namun itu tidak penting kerana seperti kata ayahku bahawa dia berjuang dengan ikhlas demi untuk rakyat dan negara.

Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, kawasan kampong Batu Melintang terhindar dari kezaliman “14 hari pemerintahan komunis bintang tiga” kerana infrastruktur mereka di sana telah dimusnahkan oleh Jepun. Sebaik sahaja Jepun kalah, dengan serta merta ayahku diberi kepercayaan oleh pihak British menjadi ketua ‘home guard’. Anggota home guard adalah penduduk kampung yang berani dan mampu mengangkat senjata. Oleh kerana terpaksa ada diantaranya berumur 16 tahun kata ayahku.

Sebanyak 70 laras pelbagai senjatapi seperti carbine, shot gun dan rifle diberikan oleh kerajaan British kepada ayahku untuk digunakan oleh ‘home guard’. Sejak dari itu, ayahku mula melatih penduduk menggunakan senjatapi bagi menentang komunis. Pengalaman tektik berperang dan menggunakan senjatapi ayahku diperolehi dari tentera Jepun semasa Jepun memerintah. Tempat latihan mereka adalah di seberang Lubuk Penduk di Kampung Penduk Mukim Belimbing, Batu Melintang.

Bermula dari zaman Jepun menyerah kalah, maka kehidupan ayahku bergelumang pula dengan gerakan melawan pengganas komunis. Kawasan rumah ayahku di kampong Penduk telah dijadikan sebagai kubu untuk penduduk kampong berlindung di waktu malam. Sementara itu anggota ‘home guard’ membuat kawalan di sekeliling kampong. Siangnya mereka bergotong royong mengerjakan sawah yang kawasannya telah diatur terkebih dahulu bagi memudahkan anggota ‘home guard’ membuat perlindungan keselamatan. Siksanya penduduk kampong mengerjakan sawah mencari sesuap nasi untuk keluarga. Setiap hari menghadapi ancaman peluru pengganas komunis. Pada masa tersebut tentera “Askar Melayu” dan pelbagai unit tentera lagi telah mula ditempatkan di kem Batu Melintang dan di sebuah pulau kecil (pulau sungai Pergau) di kampong Lawar. Sekiranya ada berlaku serangan pengganas komunis terhadap penduduk kampong dan ‘home guard’, unit tentera ini akan segera bertindak membantu selain dari pihak tentera sendiri membuat rondaan. Begitulah kehidupan penduduk kampungku bertahun-tahun lamanya.

No comments: