Wednesday, May 11, 2011

PENGINTIPAN /SIASATAN MOHD TAIB HINGGA MENYEBABKAN TERPAKSA BERPINDAN

SEBAHAGIAN DARI RINTITAN SEJARAH DIRIKU DAN PENYIASATAN AYAHKU TERHADAP OPERASI MENGHAPUSKAN KOMUNIS
                                                          
Allahyarha Mohd Taib

AKU DENGAN AYAHKU

Aku menamatkan alam persekolahan aku pada tahun 1967 dengan kelulusan SPM gred 3. Pada pertengahan tahun 1968 aku mula memikirkan bahawa aku perlu keluar dari kampung. Padaku kampungku tidak lagi begitu bermakna kerana  ada beberapa insiden yang membuatkan aku merasa sangat kecewa. Salah satu darinya adalah keputusan SPM aku yang amat tidak memuaskan diriku.

Langkahku yang pertama adalah ke Kota Baru. Aku berusaha untuk mendalami bahasa Inggeris. Aku memasuki sebuah sekolah Inggeris swasta  iaitu sekolah menengah Islah di jalan Pengkalan Chepa. Namun pelajaranku terbantut  dan berakhir sebelum cuti persekolahan hujung tahun 1968 kerana masalah kewangan. Aku balik ke kampung sekejap mencari sumber kewangan. Pada awal bulan Januari 1969 aku membawa diri ke Trengganu. Sehingga sekarang aku sendiripun tidak tahu mengapa aku berpergian begitu sahaja sedangkan kelulusan gred 3 SPM tahun 1967 bukanlah buruk sangat. Ketua-ketua jabatan dan lepasan pusat pengajian dalam tahun-tahun 80’an dan 90’an  ramai yang berkelulusan seperti aku.

Namun aku pergi jua dengan membawa perasaan sendiri yang sukar hendak aku jelaskan. Permohonanku pada tahun 1968 untuk jawatan yang memerlukan kelulusan darjah 6 sahaja diterima majikan semasa aku di Trengganu. Pada bulan Mei 1969 aku mula bekerja secara tetap dengan sebuah agensi kerajaan dengan gaji yang tak seberapa di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1971 semasa aku  bertugas di Sarawak, pertama kali ayahku mengutus surat kepadaku dan meminta supaya aku balik ke Gerik Perak kerana dia telah menemui jodoh yang sesuai untukku disana. Aku terping-pinga..jauhnya ayahku mencari jodohku. Dari Kelantan hingga ke Perak. Masa itu Jalan Raya Timur Barat belum di bina lagi. Dalam surat berikutnya dia menyatakan bahawa dia sekarang sudah berpindah ke Gerik bersama ibu tiriku (isteri muda bapaku).

Bila aku balik ke Kuala Lumpur dari Sarawak beberapa bulan selepas itu, aku tidak terus balik ke rumah ayahku di Perak. Selama hampir setahun kemudian barulah aku balik. Aku bimbang jika aku balik awal, maka aku akan terpaksa berkahwin sedangkan aku belum bersedia dari segi kewangan. Pada akhir tahun 1972 barulah aku pulang menemui ayahku di Gerik. Dan seperti aku jangkakan bahawa perkahwinan aku telah ditetapkan pada bulan-bulan awal  tahun 1973. Dan bila aku melihat rupa paras dan budi pekerti bakal isteriku, menyesal aku tidak berusaha balik lebih awal. Nasib baik tidak disambar jejaka lain….

Aku bertanya ayahku mengapa pindah ke Gerik. Berikut ini adalah sejarah penceritaannya kepadaku mengapa dia berpindah ke Gerik meninggalkan kampung halaman di Kelantan. Dia meminta aku agar jangan mendedahkannya melainkan untuk pengetahuan ku sahaja…….

Kini aku telah melanggar amanat ayahku..maafkanku ayahku..aku sangat menyanjungi ketabahanmu berkhidmat untuk Negara sehingga terpaksa meninggalkan kampung halaman. Aku menulis disini sebagai tanda ingatan, kasih sayang dan terima kasihku terhadap pengorbanan mu kepada keluarga dan Negara.


KISAH PENYIASATAN OLEH MOHD TAIB

Tanpa pengetahuaanku dan adik beradikku, rupa-rupanya ayahku masih menyambung khidmat baktinya kepada Negara bermula dari zaman Jepun dahulu lagi. Dia terlalu kerap masuk hutan kononnya pergi berburu. Tetapi tugas sebenarnya adalah masuk ke hutan menjejak komunis dan menemui orang hubungannya yang memberi maklumat  pergerakan komunis. Banyak operasi ketenteraan di kawasan Batu Melintang dan jajahan Jeli mendapat kejayaan besar adalah hasil dari daya usaha pengintipan ayahku.

Sebagai samaran, pihak keselamatan (polis) bila ayahku diperlukan untuk tugas atau lapuran, mereka membuat scenario yang ayahku ditahan atas alasan memburu secara haram, menjadi talibarut komunis dan bermacam-macam lagi. Pernah satu ketika adikku yang bernama Khalik hampir mengamuk dan memberontak kerana menyangkakan bahawa ayahku benar-benar diiniaya sebegitu rupa oleh polis. Insiden tersebut dapat ditenteramkam oleh ayahku.

Di pertengahan tahun 1970 (lebih kurang) ayahku mendapat maklumat bahawa ada pergerakan komuni di daerah Berdang Jeli. Pada masa itu Kg Berdang ini terletak agak jauh ke pendalaman dan hanya mempunyai beberapa buah rumah sahaja. Jika ayahku tiba-tiba sahaja muncul di kawasan tersebut tanpa sebab, sudah tentu kehadirannya akan disyaki walaupun orang kampung biasa.

Lalu beliau membeli sebuah L/Rover buruk dan memperbaikinya sehingga boleh digunakan. Alibinya adalah sebagai pengedar dan penjual barang-barang runcit seperti beras, ikan masin, budu, gula, kopi dan lain-lain keperluan dapur. Beliau juga sedia mengangkut padi bendang atau padi bukit yang sudah dikeringkan untuk dimesen menjadi beras disebuah kilang mesen padi di Jeli.

Tempahan untuk khidmat ayahku oleh seorang penduduk Berdang membuka peluang ayahku untuk masuk ke sana tanpa di syakki. Dia mula menghantar barang runcit dan mengangkut padi dari Berdang untuk di mesenkan di Jeli. Keluar masuk ayahku ke Berdang mula membuahkan hasil.

Ayahku dapati sejak kebelaknganni, tempahan bekalan runcit seperti sadin dalam tin, kopi, susu, gula malah penghantaran padi ke kilang agak bertambah secara mendadak. Andaian ayahku bahawa jika tidak kerana untuk kenduri, tentulah agak ramai pendatang luar telah datang ke Berdang memandangkan tempahan barang runcit yang banyak dan kekerapan tempahannya yang agak luar biasa pula.

Sebagai seorang yang berpengalaman, dia tidak terburu-buru dalam siasatannya. Dia teruskan juga dengan penghantaran yang banyak itu seperti biasa.

Hinggalah akhirnya dia mendapat tempahan agar datang ke Berdang dalam tempoh seminggu lagi kerana ada banyak padi untuk diangkut kekilang. Ayakku katakan bahawa kalau setakat tiga empat guni dia boleh bawa sekaligus pada masa itu sahaja. Tetapi dengan putar belit ayahku akhirnya tanpa disengajakan, orang kampong Berdang tersebut menyatakan bahawa dia perlukan masa lebih kurang seminggu untuk menuai, memisahkan padi dari tangkai (Perkataan Kelantan menghirit) dan mengeringkannya. Manakala jumlah padi tersebut agak banyak dan perlu diangkut  dalam beberapa trip perjalanan. Ayahku meneruskan soalan tubinya dengan mempersoalkan bahawa kalau luas sangat kawasan padinya masa seminggu takkan mencukupi untuk menuai dan memproses padi tersebut. Lalu terpancul lagi maklumat yang diperlukan oleh ayahku. Orang kampung tersebut menyatakan bahawa agak ramai orang dari luar yang mengusahakan ladang padi bukit yang dimaksudkan. Dijangkakan seramai 30/40 orang semuanya. Jadinya padi yang sudah masak tersebut tidak menjadi masalah. Ianya boleh dituai dan diproses dalam tempoh seminggu sahaja.

Sepanjang penugasannya, ayahku sentiasa berhubung dengan seorang pegawai cawangan khas yang mengendalikan kes ini bagi melapurkan perkembangan siasatannya dari masa kesemasa . Lapuran awal menyatakan, sejak beberapa bulan yang lalu,  segerombolan  pengganas komunis bersenjata sedang bergerak di kawasan Jeli. Ayahku diminta untuk mendapatkan maklumat tersebut seberapa banyak yang boleh.

Akhirnya, dengan hasil siasatan dan maklumat ayahku yang cukup lengkap, pasukan keselamatan telah  menyerang hendap komunis yang sedang menuai dan memprose padi di satu kawasan Bukit di Kg Berdang Jeli. 4 orang pengganas terbunuh dan beberapa orang tercedera serta berjaya ditangkap. Salah satu kejayaan besar pasukan keselamatan membanteras pengganas komunis di kawasan Jeli pada masa itu.

Kejayaan pasukan keselamatan ini menjadi berita besar. Pergerakan ayahku sebelum serangan terhadap komunis tersebut mula dihidu oleh penduduk setempat menyebabkan keselamatan ayahku menjadi terancam. Pihak cawangan khas menawarkan agar ayahku berpindah ke KL dengan biayaan kerajaan. Ayahku menolak dengan alasan dia tidak dapat  mencari pekerjaan untuk menyara hidup keluarga kerana kos sara hidup disana amat mahal. Jadi ayakku memilih untuk berpindah ke Gerik dimana beliau ada kenalan lama dan saudara di sana.

Perpindahan ayahku ke Gerik adalah di sekitar akhir tahun 1970. Rupa-rupanya perpindahan ayahku ke Gerik dirancangkan dengan begitu teliti oleh pihak Cawangan Khas. Selain mengelakkan ayahku berhadapan dengan ancaman tempatan di Kelantan, ayahku diberikan pula tugas untuk menjejaki dan merisik kedudukan pengganas disekitar Hulu Perak. Aku tidak tahu setakat mana sumbangan bakti arwah ayahku di Hulu Perak. Tetapi aku pernah bertemu seorang pegawai tinggi cawangan khas di Perak. Tuan Hashim (juga kini telah meninggal dunia)  adalah pegawai yang bertanggungjawab menyelia tugasan ayahku di Hulu Perak. Allahyarham pernah menyatakan kepadaku bahawa banyak kejayaan besar operasi membanteras pergerakan pengganas komunis disumbangkan oleh ayahku dan rakan-rakannya.

Aku tidak dapat memberikan tarikh yang tepat pengalaman hidup ayahku kerana sukar untuk mendapatkan bahan rujukan. Manakala pengkisahan oleh ayahku pula adalah berdasarkan ingatannya yang agak baik pada masa situ. Selain dari tarikh, pengkisahannya yang amat teliti dan terperinci serta berkesinambungan. Pengkisahannya telah menolong aku memberikan gambaran jelas penceritaannya kepada diriku untuk diceritakan semula. Aku pula walaupun tidak mencatitkannya, namun aku dapat rasakan bahawa ianya suaranya bagaikan terngiang-ngiang lagi ditelingaku menceritakan kepadaku satu persatu pengalamannya. Sebahagian dari rekod perceritaannya sudah pasti ada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia. Tetapi ianya adalah dokumen berperingkat yang tidak membenarkannya disebarkan kepada rakyat umum.

Alfatihah untuk Allahyarham Mohd Taib Bin Mat Jusoh.

No comments: