Saturday, May 28, 2011

SENI SILAT PULUT DI KG BELUM BARU

 
Gendang silat petani adalah merupakan satu kesenian utama dalam pesta tahunan dan majlis perkahwinan di Kg Belum Lama di Lembah Belum. Pada tahun 1952 penduduk Kg Belum Lama telah dipindahkan dan membuka Kg Belum Baru di Mukim Kenering Gerik pada tahun 1953. Orang-orang muda yang berpindah masa itu membawa bersama seni warisan gendang silat patani tersebut. Namun sayang sekali, pada masa ini setelah generasi tersebut meningkat tua, seni ini semakin menghilang dari Kg Belum Baru.
 
Pada 28 Mei 2011, sempena dengan perkahwinan cucunya, Hj Mohamed Bin Awang Kechik (Pak Teh) yang merupakan salah seorang pemuda yang ikut berpindah dari KG Belum Lama pada tahun 1952 dahulu merasakan semacam satu tarikan nostalgia mengenang kembali kegemilangan seni gendang silat di Kg Belum Lama yang ditinggalkan hampir 60 tahun dahulu.
 
Kini beliau telah berusia 85 tahun. Untuk memenuhi hajatnya, beliau telah menjemput satu pasokan Gendang Silat yang bernama Kumpulan Gendang Silat Seri Wangi Kg Pelang Gerik yang diketuai oleh Wan Misai, membuat persembahan dimajlis perkahwinan cucunya. Ketua kumpulan gendang silat tersebut mempunyai talian persaudaraan dengan Pak Teh.
 
Dalam persembahannya, sebagai menghormati Pak Teh, Wan Misai telah menjemput Pak Teh untuk berpasangan dengannya mempersembahkan seni silat pulut di hadapan pengantin. Walaupun sudah berumur 85 tahun, namun senitari silat tersebut masih tersimpan utuh disanubari Hj Mohamed dan di zahirkan semasa persembahan tersebut. Semoga warisan Melayu tetap kekal di Tanah Air ini.

No comments: