Monday, May 2, 2011

KISAH MOHD TAIB MENDAPAT KEPERCAYAAN TENTERA JEPUN


Kisah pertemuan Pegawai tentera Jepun dengan Mohd Taib.

Sebaik sahaja tentera Jepun sampai di kampung Kalai Kelantan, beberapa orang kampung yang agak muda dan gagah telah di kerah paksa oleh tentera Jepun membawa bekalan makanan yang di rampas ke kem mereka. Terlupa pula lokasi kem seperti yang pernah di ceritakan oleh ayahku. Kemungkinan di kawasan Kampung Kalai juga atau ke kawasan lombong emas di satu tempat yang di namakan "Lecha" (sempadan Malaysia/Thailand). Salah seorang yang terlibat dalam kerahan tersebut adalah ayahku.

Tugas ayahku ialah menggalas guni gula. Agak berat juga. Ini telah menaikkan kemarahan ayahku tetapi terpaksa akur di muncung rifle dan benet tentera Jepun.

Ayahku berjalan agak di hadapan sedikit dari jajaran penduduk yang menjadi kuli paksa Jepun. Memikirkan tentera Jepun tak nampak akan dirinya, ayahku menebuk sedikit guni gula tersebut dan gula mula keluar dari guni ayahku sedikit demi sedikit. Dalam kata lain guni gula ayahku menjadi semakin ringan kerana gula tersebut keluar berterabur di atas trek jalan yang mereka lalui.

Ayahku sedikit cuai dalam hal ini. Tentera Jepun yang eskot dan mengekori di belakang ternampak gula berterabur di sepanjang trek jalan yang di lalui. Salah seorang tentera Jepun tersebut berlari ke hadapan dan mendapati bahawa gula tersebut berpunca dari guni yang di galas ayahku. Jepun juga perasan bahawa carikan guni gula telah di sengajakan oleh ayahku. Apa lagi satu penampar Jepun melayang ke arah muka ayahku.

Tapi ayahku memang ada sedikit ilmu persilatan. Senang sahaja dia menepis penampar Jepun tersebut. Lalu dia menghunus golok di pinggang dan mengacukannya kepada tentera Jepun tersebut. Tentera Jepun cuba menghalakan muncung senapangnya kepada ayahku tetapi pada masa yang sama golok ayahku juga sudah hampir dengan badan tentera Jepun. Kedua-duanya tergamam dan terkaku di kedudukan masing-masing sehinggalah seorang pegawai Jepun tiba. Nasib baik ayahku tidak terus di tembak kerana melawan Jepun

Pegawai tentera Jepun tersebut memarahi ayahku dengan pelat Jepunnya kononnya ayahku handak lawan tentera Jepun "apa ra!..mau lawan niponka!...." antara ayat Jepun yang pernah ayahku ceritakan kepadaku. Hukumannya adalah pancung atau di tembak. Ayahku jelaskan bahawa beliau bukan nak lawan Jepun tetapi maruahnya tercemar kerana sebagai ketua kampung Jepun patut memberi sedikit penghormatan. Dengan demikian rakyat juga akan ikut hormat dan patuh kepada Jepun.

Alasan ayahku agak diterima oleh pegawai Jepun tadi dan ayahku di bawa ke hadapan pegawai yang lebih tinggi di sebuah padang di kampung Kalai (kem besar). Bila bertemu sahaja, pegawai tinggi Jepun tersebut amat gembira kerana telah mengenali ayahku sebagai kawannya. Ayahku mengenali pegawai tentera Jepun tersebut sebagai tukang Jahit manakala pegawai tentera Jepun pula tahu bahawa ayahku adalah ketua kampung (tok penghulu) seperti yang diceritan dahulu dan mereka saling percaya mempercayai.

Akhirnya pegawai tentera Jepun tersebut mengarahkan semua tenteranya yang ada berkawad di tengah padang dan lintas hormat di hadapan ayahku. Mereka semua di arahkan supaya mengecam dan hormat ayahku di mana-mana sahaja mereka berjumpa. Mana-mana yang engkar akan di hukum.

Itulah bermulanya episod ayahku mempunyai sedikit kuasa untuk memberi sedikit perlindungan kepada penduduk kampung dari kezaliman tentera Jepun. Namun tentera Jepun hanya patuh semasa kehadiran ayahku sahaja. Jadi sibuklah ayahku kesana kemari membantu penduduk yang kena buli oleh tentera Jepun.

Ada juga penduduk kampung yang dipaksa minum air sabun dan gangguan ke atas wanita. Tetapi tidaklah seteruk seperti di tempat lain kerana kehadiran ayahku menyebabkan tentera Jepun bertempiaran lari kerana takut kena hukum oleh ketua mereka.

No comments: