Sunday, June 12, 2011

JKR MEMBAIKI JAMBATAN BAILEY KG BELUM BARU


Hj Iesa Bin Wangah (86th)
Generasi Pertama Penduduk Kg Belum Baru
Membuka Kg Belum Baru Pada Tahun1953


Saya percaya bahawa sebahagian besar generasi muda tidak pernah melihat bagaimana jambatan Bailey, iaitu satu system jambatan pasang siap yang tekenal di zaman perang dunia ke 2 dulu di buka dan di pasang.
Hasil dari aduan JKKK Kg Belum Baru dan setelah di buat pemeriksaan oleh jurutera JKR maka pada 8 Jun 2011, jambatan Bailey Kg Belum Baru sepanjang lebih kurang 35 meter dibaik pulih. Seperti juga dengan kerja-kerja pemasangannya, kerja-kerja membaik pulih sungguh unik dengan seni kerja-kerja kejuruteraannya yang tersendiri.

Jambatan Kg Belum Baru ini adalah merupakan nadi utama penghubung perjalanan penduduk dan juga laluan menghantar hasil getah ke pembeli getah berlesen.

Sejarah jambatan Kg Belum Baru bermula pada peringkat awal Kg Belum Baru di buka pada tahun 1953. Pada mulanya pihak pentadbiran British pada masa itu membina sebuah jambatan gantung yang hanya boleh dilalui secara berjalan kaki dan berbasikal sahaja. Tetapi pada awal tahun 1970’an, jambatan gantung telah digantikan dengan jambatan kayu bertiang batu konkrit di tengah sungai. Jurubina jambatan tersebut adalah seorang penduduk kampong yang berhijrah dari Kelantan ke Kg Belum Baru yang bernama Mohd Taib Bin Mat Jusoh.

Pada tahun 1985, jambatan bertiang yang dibina telah oleh Mohd Taib tersebut telah runtuh di tolak sungai yang banjir. Puncanya adalah disebabkan dahan dan pokok kayu yang tersangkut di kabel keluli yang yang merentangi sungai di sebelah hulu tiang jambatan. Kabel keluli tersebut adalah peninggalan dari jambatan gantung yang telah tidak lagi di gunakan. Akibat dari dahan pokok dan kayu serta sampah sarap yang tersangkut di kabel keluli tersebut, ianya telah membentuk “Beaver Dam” dan telah menekan tiang jambatan. Akhir tekanan tersebut melebihi tahap maksima yang dapat ditampung oleh jambatan. Lalu “Beaver Dam” tersebut pecah dengan mematahkan tiang jambatan serta mengheret sekali rasuk dan lantai jambatan ke hilir sungai Kenering.

Berikutan dengan kehilangan jambatan tersebut, pihak JKR telah menggantikannya dengan membina jambatan Bailey seperti yang ada sekarang. Kerangka jambatan ini dikatakan di bawa dari jambatan Nordin di Hilir Perak yang sudak diganti baru dengan menggunakan jambatan konkrit.
Namun pada tahun 1999 sekali jambatan Kg Belum Baru di timpa malapetaka. Jambatan bailey ini patah ditengahnya bila sebuah lori muatan pasir yang beratnya hampir 28 tan menyeberangi jambatan ini dan nyaris terhumban ke dalam sungai. Jambatan Bailey tersebut patah akibat lebihan berat yang dibawa oleh lori tersebut. Sekali lagi jambatan Kg Belum Baru menjalani pembaikan secara besar-besaran yang memakan masa agak lama juga.

Hinggalah akhirnya bermula pada 8 Jun 2011 sekali lagi jambatan Kg Belum Baru di baik pulih hasil dari pemantauan secara berkala pihak JKR Gerik dan Negeri Perak. Terima kasih kepada Datuk pengarah Jabatan Kerjaraya negeri Perak dan JKR daerah Gerik.

Kerja-kerja membaik pulih jambatan ini telah menarik perhatian penduduk kerana keunikan membuka, mengganti dan memasang balik ke tempat asal. Salah seorang dari penduduk tersebut adalah Hj Iesa Bin Wangah (86) tahun. Beliau merupakan salah seorang dari penduduk asal Kampung Belum Lama yang dipidahkan oleh British dan membuka Kampung Belum Baru pada tahun 1953.

Beliau telah melihat pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan dari masa kesemasa selama lebih 59 tahun di Kg Belum Baru. Dari jambatan gantung ke jambatan bertiang jambatan batu bertiang konkrit dan sehinggalah ke era jambatan bailey. Semasa kerja-kerja pembaikan ini, Hj Iesa yang kerap ke sungai untuk mandi walaupun rumahnya dilengkapi dengan air pair, sering singgah di tapak pembinaan dan memerhati kerja-kerja yang dijalankan. Beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin dengan dengan aduan rakyat. Namun jauh di sudut hatinya, beliau tertanya-tanya bilakah Kampung Belum Baru akan mendapat jambatan konkrit setelah 59 tahun kampong ini di buka. Sekurang-kurang dia dapat merasa melintasinya semasa hayatnya masih ada.