Wednesday, March 7, 2012

PROGRAM CERAMAH AGAMA SEMPENA SAMBUTAN MAULIDURRASUL DI MASJID NUR AL-HUDA KG BELUM BARU


Jemputan khas dan hadirin sedang menikmati jamuan makan malam 
ala Kg Belum Baru yang disediakan oleh kaum ibu dari pelbagai 
persatuann dan pertubuhan di Kg Belum Baru. Jawatankuasa 
masjid, JKKK dan KRT Kg Belum Baru memohon maaf kerana
terpaksa mendahului majlis makan malam sebelum ketibaan 
Tuan Penceramah jemputan atas faktor kesuntukan masa.


 Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari 
- Orang Besar Jajahan Hulu Perak, menyampaikan 
ucapan amanah dan nasihat kepada hadirin



Tuan Haji Mohd Yusop bin Haji Husin 
- Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak
 sedang menyampaikan ceramah


( moderator mohon maaf diatas mutu gambar yang amat tidak memuaskan )

Pada 7 Mac 2012, selepas solat Isyak, telah berlangsung satu majlis ceramah sempena sambutan Maulidurrasul pada tahun ini bertempat di dewan sembahyang masjid Nur Al-Huda kampung Belum Baru. Majlis ini adalah anjuran bersama JKKK Kg Belum Baru, KRT Kg Belum Baru dan Jawatankuasa Kariah Masjid Nur Al-Huda Kg Belum Baru.

Penceramah yang dijemput khas adalah Tuan Haji Mohd Yusop bin Haji Husin - Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Turut hadir di majlis berkenaan adalah:-
- Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari - Orang Besar Jajahan Hulu Perak,
- YDH Toh Shahbandar Ulu YB Dato' Haji Mohd Tarmizi Bin Haji Idris - Adun Kenering.
- Pegawai KRT Gerik.

Antara intipati ceramah Tuan Haji Mohd Yusof adalah:-
- Kita dituntut selalu bersolawat kepada nabi Muhammad SAW
- Pada masa ini pihak kafir sedang melakukan berbagai cara untuk melemahkan Islam di negara ini dan juga di dunia keseluruhannya.
- Kita perlu berwaspada dengan perkembangan mazhab syiah yang bertentangan dengan sunnah wal jamaah yang diamalkan dinegara ini.

Sebelum ceramah agama di sampaikan, pengerusi majlis En Mohd Bakri telah mejemput Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari - Orang Besar Jajahan Hulu Perak menyampaikan ucapan pembukaan. Antara intipati ucapannya beliau ialah menyeru agar orang Melayu memberikan tumpuan taat setia sepenuhnya terhadap istitusi raja kerana ianya merupakan payung kepada umat Melayu dan Agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan di negara ini.

Hadirin dan para jemputan telah diraikan dengan majlis makan malam selepas solat maghrib.



MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RUMAH MESRA RAKYAT DI KG BELUM BARU


YDH Toh Shahbandar Ulu YB Dato' Haji Mohd Tarmizi Bin Haji Idris
Adun Kenering menyerahkan replika kunci rumah kepada En Mohd 
Ali Bin Mat Derani - salah seorang dari penerima Rumah Mesra rakyat
di Kampung Belum Baru di hadapan rumahnya yang baru siap dan diduduki.

Pada 7 Mac 2012 jam lebih kurang 5.50 petang satu majlis penyerahan kunci rumah mesra rakyat telah di adakan di adakan di Kampung Belum Baru yang dirasmikan oleh YDH Toh Shahbandar Ulu YB Dato' Haji Mohd Tarmizi Bin Haji Idris - Adun Kenering. Sehingga ini tiga buah rumah mesra rakyat telah di bina di Kampung Belum Baru. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Hj Mat Narun Bin Hj Mohamed - Pengerusi JKKK/Ketua Kg Belum Baru, En Ghazali Bin Hj Mohamed - Pegawai KEMAS, En Nur Insan Bin Yusof dan En Sharif Ahmad dari SPNB. Usaha masih diteruskan oleh wakil rakyat dan pemimpin mukim serta pemimpin kampung bagi memenuhi permintaan rakyat Kampung Belum Baru dan di lain-lain kawasan untuk mendapatkan rumah "Mesra Rakyat" yang di subsidikan oleh kerajaan ini.

Thursday, February 23, 2012

PENUTUPAN LAMAN WEB "www.belumbaru.kkgri.edu.my""


Admin memaklumkan bahawa laman web www.belumbaru.kkgri.edu.my yang beroperasi melalui portal kolej komuniti gerik mengalami masalah teknikal dan operasinya terpaksa ditamatkan.

Sesuai dengan namanya  "warisan lembah belum", blog ini mengambil inisiatif dengan memindahkan posting-posting dalam laman web tersebut ke dalam blog ini kerana saya sebagai admin blog ini adalah juga sebagai penyumbang solo kepada tulisan, rencana, video clip dan gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman web tersebut.

Admin amat berterima kasih kepada Cik Islahiah dari bahagian IT Kolej Komuniti Gerik  kerana beliau telah berusaha mengumpul kembali  posting-posting tersebut dan membuat backup fail. Dengan demikian segala usaha saya selama ini tidak hilang begitu sahaja.

Sesiapa yang berminat mengetahui sejarah dan mengapa kampung ini dinamakan  "KAMPUNG BELUM BARU" bolehlah melayari blog ini iaitu http://warisanlembahbelum.blogspot.com. Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Komuniti Kolej Gerik dan juga Tuan penghulu Sofian (Penghulu Kanan Gerik) yang telah berusaha mewujudkan portal laman web e-komuniti bagi 60 buah kampung di Hulu Perak. Saya berharap e-komuniti dapat diteruskan dengan pengurusan yang baru. Terima kasih.

Saya bukanlah seorang yang mahir dalam bidang adminstrator laman web dan juga blogger. Saya hanya merupakan tidak lebih dari seorang pengumupul maklumat sahaja. Ianya hanya bertujuan untuk mengenengahkan Kampung Belum Baru dimata masyarakat Malaysia atau mungkin juga dimata dunia. Jadi saya memohon maaf di atas sebarang kelemahan atau posting yang bermutu rendah dari saya.

Monday, February 20, 2012

KAMPUNG BELUM BARU




Peta lakar kampung Belum Baru tahun 2008


Pantas sungguh masa berlalu. Cepat betul tahun 2012 menjelma. Pada tahun 2008 dianggarkan ada 160 buah rumah dan bangunan di kampung Belum Baru dengan populasinya lebih kurang 1,200 orang. Mengikut perangkaan terbaru ketua kampung Belum Baru Tuan Hj Mat Narun, kini, iaitu pada tahun 2012 terdapat kira-kira 200 rumah kediaman semuanya. Kira-kira pertambahan 35% dalam masa 4 tahun. Perkembangan yang agak mendadak. Ini belum lagi termasuk rumah yang sedang dalam pembinaan. 

Pertumbuhan perumahan dikampung Belum Baru berpunca dari keperluan generasi baru penduduk kampung Belum baru yang telah mencapai kematangan dan berkeluarga.

Adalah dianggarkan dalam beberapa tahun yang mendatang, keperluan penempatan baru akan berlipat kali ganda selari dengan perkembangan dan pertambahan keahlian keluarga generasi baru yang akan memasuki alam rumahtangga dan berkeluarga sendiri.

Sehingga ini keperluan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti bekalan letrik, bekalan air paip, perhubungan telefon dan internet adalah begitu efisyen sekali. Manakala semua penduduk di klasifikasikan sebagai sebuah komuniti yang tidak ada penganggur.

Aktiviti keagamaan, politik dan sosial sehingga ini boleh di kategorikan stabil. Namun sejak akhir-akhir ini, berpunca dari politik melampau yang dibawa masuk dari luar telah mula membibitkan perpecahan sosial. Walau bagaimanapun ianya masih terkawal. Namun jika trend ini berterusan, dibimbangi pengaruh luar ini akan merosakkan keharmonian sosial penduduk kampung Belum Baru. Mereka yang datang dari luar hanya tahu membawa unsur-unsur perpecahan tanpa mengambil kira bahawa majoriti penduduk di kampung ini adalah "bersaudara dekat" yang 100 peratusnya Melayu beragama Islam.

Mereka yang dari "luar" ini, dengan kerjasama segelintir penduduk yang tidak puas hati dengan suasana semasa, mula menanamkan bibit-bibit membenci antara satu sama lain dengan menggunakan agama. Mereka juga membawa budaya fitnah memfitnah dan caci mencaci.

Sebahagian dari mereka ini ada yang sudah menjadi "kacang lupakan kulit". Berbagai memudahan dan bantuan telah diberikan oleh pihak kepimpinan dan pemerintah kepada mereka. Namun dari dalam rumah PPRT yang mereka duduki hasil dari pemberian kerajaan yang memerintah itulah mereka mencerca dan "menggigit kembali tangan yang menyuap". Mereka mendakwa mereka tidak mendapat sebarang bantuan dari kerajaan wal hal semasa mereka mendakwa demikian, sedang berada dan tinggal disebuah rumah yang di hadiahkan oleh kerajaan.

Perbuatan yang paling hina dan paling tidak mengenang budi sekali adalah bila beberapa individu enggan menadah tangan mengaminkan do'a bila khatib membaca do'a untuk Raja di dalam khutbah kedua setiap kali solat Jumaat. Mereka bersembahyang dalam masjid yang mana raja menjadi payungnya. Mereka juga mendapat keistimewaan hak Melayu/Islam yang tertera dalm perlembagaan  berpunca dari kuasa raja ditetapi menghina raja sedemikian rupa.

Apakah semangat kekeluargaan dan setia kawan semasa di pindahkan oleh British pada tahun 1952 dari Lembah Belum ke perkampungan baru (Kampung Belum Baru pada tahun 1953) sudah berkubur dan hilang dan terhakis. Apakah ianya ikut terhakis dan akan hilang di telan masa sebagaimana yang berlaku kepada kubur-kubur datuk nenek mereka di belantara "Lembah Belum" itu....
  
Kemanakah perginya bidalan "Cubit paha kanan, paha kiripun sakit"?

Jika anda mahu mengetahui Kampung Belum Baru lebih lanjut lagi, sila lawati rencana-rencana yang berkenaan di blog ini. Terima kasih.  

Sunday, August 28, 2011

YB DATO' SHAMSUL MEMBUAT LAWATAN MENYAMPAIKAN SUMBANGAN HARIRAYA

Ucapan ringkas YB Dato' Shamsul di rumah Ketua Kampung merangkap Pengerusi JKKK Kg Belum Baru. Keikhlasan beliau terserlah dimana beliau tidak mahu lawatan beliau pada kali ini dibuat dalam majlis yang rasmi. Mana-mana ibu-ibu tunggal dan yang memerlukan, jika mereka reka mampu, mereka dijemput datang untuk menerima sumbangan darinya di rumah Ketua Kampung. Beliau seterusnya melakukan lawatan sendiri dari rumah ke rumah bagi penduduk yang tidak mampu dan tidak berupaya dan juga yang sakit bagi  menyampaikan bantuan hariraya sambil meninjau keperluan dan masalah yang patut diberikan atau diselesaikan.

 
 
 
Sebahagian dari gambar yang sempat dirakamkan dalam lawatan 
penyerahan bantuan hariraya kepada ibu tunggal, warga emas 
dan penduduk yang sakit serta yang yang memerlukan bantuan 
di Kampung belum baru
 
Pada 27 Ogos 2011 sekitar jam 0500 petang, Ahli Parlimen Lenggong, YB Dato’ Shamsul Bin Hj Nasarah tiba di Kg Belum Baru dengan di iringi oleh Tn Hj Idris Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Lenggong dan En Ghazali Bin Hj Mohamed Penyelia KEMAS DUN Kenering.

Lawatan beliau ini tidak ada dalam senarai program aktiviti kampong. Dato’ Shamsul membuat lawatan biasa secara mengejut bagi menyampaikan sumbangan hariraya dan lawatan peribadi kepada ibu-ibu tunggal, penduduk kampong yang sakit dan OKU.

Apabila ditanya mengapa tidak dimaklumkan lebih awal akan lawatan bagi menyampaikan sumbangan hariraya tersebut. Beliau menerangkan bahawa lawatan beliau seperti ini adalah satu kelaziman baginya sepertimana yang dilakukan dari masa kesemasa dalam tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Lenggong untuk mendapatkan maklumat dan mengambil berat akan keadaan dan masalah rakyat dalam kawasannya.

Kebetulan lawatannya pada kali ini adalah dalam bulan puasa dan hampir pula dengan hari lebaran lalu beliau mengambil kesempatan ini menyampaikan sumbangan hariraya untuk ibu-ibu tunggal, penduduk miskin, penduduk kampong yang sakit dan OKU dengan harapan membantu mereka menyambut hari lebaran dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran tanpa mengira pendirian politik dan sebagainya. Penyampaian sumbangan hariraya ini di laksanakan bersama dengan KEMAS Lenggong. Seramai 30 orang individu pelbagai kategori telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh  YB Dato' Shamsul di Kampung Belum Baru.

YB Dato' Shamsul seterusnya berlepas ke Kg Malau dan kampung-kampung lain dalam Mukim Kenering bagi maksud yang sama sebaik sahaja lawatan di Kampung Belum Baru selesai.

Terima kasih YB Dato' Shamsul  dan KEMAS Lenggong.

Monday, August 1, 2011

DURIAN AJAIB DI KAMPUNG BELUM BARU, GERIK, PERAK




Buah durian dalam buah durian. Pelik tetapi benar. Bukan ciptaan manusia tetapi bukan juga perkara mustahil terjadi dengan kuasa Allah. Setakat yang saya tahu pokok durian spesis ini hanya wujud di Kampung Belum Lama di Lembah Belum (Tempat asal pokok durian jenis ini) dan di Kampung Belum Baru.

Pokok ini wujud di Kampung Belum Baru apabila seorang penduduk Kg Belum Lama yang bernama Allahyarham Che Sudin berpindah ke Kg Belum Baru, Gerik, Perak. Beliau telah membawa benih durian tersebut dari Kg Belum Lama dan menanamnya di Kg Belum Baru lebih kurang 30/40 tahun yang lalu. Kini dusun durian yang terdapat pokok durian ajaib ini dijaga oleh anak lelaki Allahyarham Che Sudin yang bernama Mohd Noor dan isterinya Pn Hasnah.

Jika ada sesiapa yang berminat untuk melihat sendiri akan buah ajaib ini datanglah ke Kg Belum Baru Gerik Perak pada musim durian akan datang iaitu antara bulan Julai dan bulan Ogos tahun depan. Itupun jika musim tersebut cuaca baik dan durian menjadi dan berbuah dengan lebat.

Salah satu keistimewaan Kg Belum Baru.

Sunday, June 12, 2011

JKR MEMBAIKI JAMBATAN BAILEY KG BELUM BARU


Hj Iesa Bin Wangah (86th)
Generasi Pertama Penduduk Kg Belum Baru
Membuka Kg Belum Baru Pada Tahun1953


Saya percaya bahawa sebahagian besar generasi muda tidak pernah melihat bagaimana jambatan Bailey, iaitu satu system jambatan pasang siap yang tekenal di zaman perang dunia ke 2 dulu di buka dan di pasang.
Hasil dari aduan JKKK Kg Belum Baru dan setelah di buat pemeriksaan oleh jurutera JKR maka pada 8 Jun 2011, jambatan Bailey Kg Belum Baru sepanjang lebih kurang 35 meter dibaik pulih. Seperti juga dengan kerja-kerja pemasangannya, kerja-kerja membaik pulih sungguh unik dengan seni kerja-kerja kejuruteraannya yang tersendiri.

Jambatan Kg Belum Baru ini adalah merupakan nadi utama penghubung perjalanan penduduk dan juga laluan menghantar hasil getah ke pembeli getah berlesen.

Sejarah jambatan Kg Belum Baru bermula pada peringkat awal Kg Belum Baru di buka pada tahun 1953. Pada mulanya pihak pentadbiran British pada masa itu membina sebuah jambatan gantung yang hanya boleh dilalui secara berjalan kaki dan berbasikal sahaja. Tetapi pada awal tahun 1970’an, jambatan gantung telah digantikan dengan jambatan kayu bertiang batu konkrit di tengah sungai. Jurubina jambatan tersebut adalah seorang penduduk kampong yang berhijrah dari Kelantan ke Kg Belum Baru yang bernama Mohd Taib Bin Mat Jusoh.

Pada tahun 1985, jambatan bertiang yang dibina telah oleh Mohd Taib tersebut telah runtuh di tolak sungai yang banjir. Puncanya adalah disebabkan dahan dan pokok kayu yang tersangkut di kabel keluli yang yang merentangi sungai di sebelah hulu tiang jambatan. Kabel keluli tersebut adalah peninggalan dari jambatan gantung yang telah tidak lagi di gunakan. Akibat dari dahan pokok dan kayu serta sampah sarap yang tersangkut di kabel keluli tersebut, ianya telah membentuk “Beaver Dam” dan telah menekan tiang jambatan. Akhir tekanan tersebut melebihi tahap maksima yang dapat ditampung oleh jambatan. Lalu “Beaver Dam” tersebut pecah dengan mematahkan tiang jambatan serta mengheret sekali rasuk dan lantai jambatan ke hilir sungai Kenering.

Berikutan dengan kehilangan jambatan tersebut, pihak JKR telah menggantikannya dengan membina jambatan Bailey seperti yang ada sekarang. Kerangka jambatan ini dikatakan di bawa dari jambatan Nordin di Hilir Perak yang sudak diganti baru dengan menggunakan jambatan konkrit.
Namun pada tahun 1999 sekali jambatan Kg Belum Baru di timpa malapetaka. Jambatan bailey ini patah ditengahnya bila sebuah lori muatan pasir yang beratnya hampir 28 tan menyeberangi jambatan ini dan nyaris terhumban ke dalam sungai. Jambatan Bailey tersebut patah akibat lebihan berat yang dibawa oleh lori tersebut. Sekali lagi jambatan Kg Belum Baru menjalani pembaikan secara besar-besaran yang memakan masa agak lama juga.

Hinggalah akhirnya bermula pada 8 Jun 2011 sekali lagi jambatan Kg Belum Baru di baik pulih hasil dari pemantauan secara berkala pihak JKR Gerik dan Negeri Perak. Terima kasih kepada Datuk pengarah Jabatan Kerjaraya negeri Perak dan JKR daerah Gerik.

Kerja-kerja membaik pulih jambatan ini telah menarik perhatian penduduk kerana keunikan membuka, mengganti dan memasang balik ke tempat asal. Salah seorang dari penduduk tersebut adalah Hj Iesa Bin Wangah (86) tahun. Beliau merupakan salah seorang dari penduduk asal Kampung Belum Lama yang dipidahkan oleh British dan membuka Kampung Belum Baru pada tahun 1953.

Beliau telah melihat pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan dari masa kesemasa selama lebih 59 tahun di Kg Belum Baru. Dari jambatan gantung ke jambatan bertiang jambatan batu bertiang konkrit dan sehinggalah ke era jambatan bailey. Semasa kerja-kerja pembaikan ini, Hj Iesa yang kerap ke sungai untuk mandi walaupun rumahnya dilengkapi dengan air pair, sering singgah di tapak pembinaan dan memerhati kerja-kerja yang dijalankan. Beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin dengan dengan aduan rakyat. Namun jauh di sudut hatinya, beliau tertanya-tanya bilakah Kampung Belum Baru akan mendapat jambatan konkrit setelah 59 tahun kampong ini di buka. Sekurang-kurang dia dapat merasa melintasinya semasa hayatnya masih ada.